DUNGUN - Projek pembinaan Hospital Dungun yang baharu berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan apabila sudah siap 12 peratus.

Pembinaan hospital itu merupakan langkah proaktif kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya warga daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata, pembinaan hospital itu berjalan dengan baik dan dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

Menurutnya, hospital itu akan dilengkapi kelengkapan lebih canggih untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat.

“Semua berjalan ikut perancangan. Setelah siap nanti, hospital ini akan menjadi hospital pakar minor dengan sembilan kepakaran iaitu perubatan dalaman, kanak-kanak, pembedahan, ortopedik, obstetrik dan gynekologi, radiologi, bius serta kecemasan.

“Ia akan dilengkapi 110 katil dan mempunyai fasiliti lebih lengkap termasuk ICU,” katanya ketika hadir merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Hospital Dungun, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar.

Sementara itu, Roslee berkata, Hospital Dungun dilihat gah berdiri selama 50 tahun dalam melestarikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa kesepakatan di semua peringkat. Semua penjawat awam khusus warga kesihatan perlu bekerja keras bagi mencapai matlamat yang disasarkan.

“Kementerian Kesihatan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk klinik kesihatan, klinik desa, hospital biasa, hospital pakar dan institusi khas agar dapat dinikmati semua lapisan masyarakat. Dengan bayaran paling minimum dan ada yang dikecualikan, rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan berkualiti dan berkesan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Projek perluasan Pelabuhan Kuantan fasa pertama yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada Jun 2018, menunjukkan perkembangan positif melalui penempahan awal dermaga daripada syarikat swasta walaupun masih dalam pembinaan.