JERTIH - Pelajar tingkatan dua yang maut selepas dihempap palang besi gol di padang bola Madrasah Moden Maidam Besut di Kampung Landak dikatakan menunjukkan perubahan sehari sebelum kejadian.

Pengetuanya, Jusoh Mat berkata, mangsa, Ahmad Muazz Naimmullah Mohd Azhar, 14,  memperlihatkan beberapa perubahan beberapa hari sebelum kejadian malang menimpanya.

Menurutnya, sehari sebelum itu mangsa asyik bersalaman dengan guru termasuk beberapa kali bersalam dengannya.

“Beberapa kali dia bersalam dengan saya ketika kami jumpa sebelum kejadian dan arwah merupakan seorang pelajar yang baik,” katanya.

Jusoh berkata, pada awal pagi hari kejadian, Ahmad Muazz sempat solat  hajat beramai-ramai bersama rakan-rakannya di asrama surau sekolah.

Bagaimanapun katanya, tidak ada sesiapa yang perasan perubahan sikapnya itu menandakan dia akan pergi buat selama-lamanya sehingga berita menyayat hati itu berlaku

Semalam, Sinar Harian melaporkan kejadian seorang pelajar sekolah maut ditimpa tiang gol kira -kira jam 11 pagi, kelmarin.

Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan dalaman di bahagian leher

Jenazah Ahmad Muazz dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Sura Hujung, Dungun untuk dikebumikan.