KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menaja 10 pelajar terbaik dari negeri itu di bawah biasiswa Al-Wathiqul Billah Sultan Mizan Zainal Abidin untuk melanjutkan pelajaran di beberapa universiti terkemuka dunia tahun ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, untuk layak mendapat biasiswa berkenaan, pelajar perlu memperoleh 8A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Hari ini, exco telah meluluskan untuk menghantar 10 pelajar anak Terengganu yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia di bawah biasiswa Al-Wathiqul Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Pelajar yang terpilih itu selain cemerlang dalam akademi, mereka juga akan menjalani ujian penilaian sebelum dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara," katanya selepas mesyuarat mingguan exco di sini, hari ini.

Ahmad berkata, ketika ini terdapat 11 anak Terengganu sedang melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka di luar negara yang dibiayai sepenuhnya biasiswa tersebut.

Beliau berkata, setiap anak Terengganu yang menepati syarat layak untuk mendapatkan biasiswa berkenaan, meskipun mereka belajar atau bermastautin di negeri lain.- Bernama