KUALA TERENGGANU - Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa lebih 70 peratus barangan turun harga, dilihat bercanggah dengan realiti yang dihadapi pengguna di negara ini.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, berdasarkan laporan media, masih ramai pengguna yang tersepit dan merungut dengan kenaikan harga barangan yang didakwa naik secara mendadak, berbanding sebelum pilihan raya yang lalu.

Menurutnya, kenyataan Saifuddin nyata bercanggah dengan laporan tinjauan yang dibuat oleh sebuah akhbar tempatan, yang mengatakan pengguna masih lagi merungut dengan kenaikan harga barangan.

“Kita ingin tahu, kajian yang bagaimana kementerian buat sebab ia bercanggah dengan realiti sekarang. Beliau hanya membuat kenyataan tanpa ada fakta kukuh, sekadar untuk mewujudkan persepsi di kalangan rakyat.

“Tapi, apa yang berlaku ialah, barangan asas seperti gas memasak pun, naik harga. Rakyat mahukan penjelasan yang rasional daripada kementerian terhadap isu kenaikan harga barangan ini dan apa jalan penyelesaian yang sedang dilakukan oleh kementerian,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Jelas Dr Najmil, semasa Pakatan Harapan (Harapan) masih lagi pembangkang, mereka menimbulkan isu kenaikan harga barangan bagi menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan BN.

Tetapi katanya, apabila menjadi kerajaan, mereka bukan sahaja gagal menangani isu harga barang, malah ada harga barangan yang terus meningkat.

“Kerajaan Harapan sendiri mengakui mereka gagal untuk mengotakan segala apa yang mereka janjikan sebelum ini. Bagi saya, ini jelas satu penipuan kepada rakyat dalam usaha mereka untuk mendapatkan kuasa,” katanya.