KUALA TERENGGANU - Kenaikan yuran penyelenggaraan yang dikenakan pemaju kepada penghuni Pangsapuri Sri Wangi, di sini, adalah wajar berikutan banyak fasiliti yang perlu dibaikpulih dan ditukar ganti setelah lima tahun berada di bawah pengurusan terdahulu.

Wakil syarikat pemaju, Sin Chuan Hong (Terengganu) Sdn Bhd, Datuk Ar Maurice Wee Beng Teck berkata, segalanya telah dijelaskan kepada penghuni pada mesyuarat agung yang lepas dan pihaknya telah pun bertolak ansur dengan  mengurangkan kos yang dicadangkan kepada kos baharu ketika itu.

Bagaimanapun, bantahan tetap diteruskan oleh beberapa penghuni yang tidak berpuas hati dengan mengambil kira ianya tidak munasabah.

“Banyak benda yang perlu dibaiki dan ditukar baru, memang perlukan kos yang tinggi untuk segala penyelenggaraan ini, kenaikan baru itu sudah sesuai.

“Banyak sudah rosak, ada yang perlu diganti, begitu juga dengan pengurusan dan pengawal keselamatan dan banyak lagi yang disediakan demi keselamatan semua penghuni di situ (Pangsapuri Sri Wangi).

“Penyelenggaraan lif dan sebagainya juga telah diambil kira kerana sering rosak,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya, di sini.

Maurice Wee menjawab isu bantahan yang dibuat sebahagian penghuni di pangsapuri itu sebelum ini yang menyatakan kenaikan yuran penyelenggaraan baharu tidak munasabah dan membebankan mereka.

Katanya, tindakan penghuni itu menyusahkan banyak pihak termasuk jabatan kerajaan terlibat, sedangkan pihaknya telah pun berbincang dengan Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Pihaknya muktamad dengan keputusan untuk mengenakan yuran penyelenggaraan baharu iaitu sebanyak RM240 sebulan dan bukan RM270 seperti yang didakwa penghuni terbabit.

Penguatkuasaan berkenaan yuran baharu itu juga telah dilaksanakan bermula Januari 2017.

Beliau berharap, penghuni dapat menerima keputusan itu secara rasional demi kebaikan dan tidak menuding jari mencari kesalahan pihak lain sebaliknya bekerjasama dalam menjaga kebersihan dan keharmonian penghuni di  situ.

“Mereka tinggal di situ, mereka sendiri tahu apa yang rosak, apa yang perlu ditukar, kami sebagai pengurusan baru akan bertanggungjawab memastikan penghuni tinggal dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) digesa memanggil pemaju dan penghuni bagi melihat isu kenaikan yuran penyelenggaraan di Pangsapuri Sri Wangi, di sini dengan lebih terperinci.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.