KUALA TERENGGANU – Kerajaan melalui institusi agama di negara ini perlu mengambil tindakan serius menangani isu yang merosakkan akidah umat Islam termasuk yang terbaharu mengenai penyertaan anak muda dalam kelab ateis.

Pengerusi Biro Agama Umno Bahagian Kuala Terengganu, Ahmad Roslim Jaafar berkata, belum reda isu sokongan pihak liberal terhadap LGBT, negara dikejutkan pula dengan fahaman yang tidak mengakui kewujudan tuhan yang jelas menyeleweng dari agama Islam.

Keadaan itu katanya sudah tentu mewujudkan suasana membimbangkan khusus dalam masyarakat Islam kerana dikhuatiri perkara yang biasa berlaku di barat itu menular dalam masyarakat di negara ini.

“Kita harap supaya pihak berwajib mengambil tindakan bagi memperbetulkan akidah mereka berdasarkan garis panduan agama dan usaha-usaha perlu dilakukan untuk memastikan mereka tidak terus terpesong dari landasan agama sebenar.

“Kita harap pihak berwajib memandang serius supaya pihak lain tidak terjebak dengan kumpulan ini dan mereka yang terjebak pula diberi perhatian melalui kaunseling dan sebagainya serta mengajak mendekatkan diri dengan program agama,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan Sinar Harian semalam, tindakan sekumpulan anak Melayu beragama Islam menyertai kelab yang tidak mempercayai kewujudan tuhan, Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur dikecam banyak pihak.

Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, kewujudan golongan ini bukan sahaja memesongkan akidah umat Islam tetapi melanggar prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

Ahmad Roslim menjelaskan, isu agama adalah perkara yang perlu dijaga selari dengan matlamat kerajaan dalam memelihara bangsa dan negara.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta masyarakat turut mengambil cakna terhadap situasi yang berlaku di sekeliling bagi mudahkan mereka melaporkan kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat tindakan menyalahi dari sudut agama.

Menurutnya, maklumat yang tepat dan cepat akan membantu pihak berkuasa agama membuat pencegahan lebih awal bagi mengelak perkara tidak diingini berleluasa yang boleh memberi kesan buruk terhadap persekitaran masyarakat Islam.

“Peranan semua pihak perlu diperluaskan daripada akar umbi hingga atasan. Kalau di peringkat kampung, bermula dari kepimpinan kawasan, ibu bapa dan semua pihak perlu memberi kerjasama dan membuat laporan kalau melihat perlakuan tidak sepatutnya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Penularan pertubuhan atau kepercayaan ateis dalam kalangan orang Melayu beragama Islam di Malaysia bukan sahaja melanggar akidah agama Islam, tetapi sekali gus melanggar Rukun Negara yang pertama iaitu ‘Kepercayaan kepada Tuhan’.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.