KEMAMAN - Hampir 138 pembeli Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Sri Gemilang, Kerteh bagi fasa dua yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah buntu kerana selepas enam tahun rumah yang dibeli tidak juga siap.

Pembinaan itu dikatakan di bawah projek penswastaan perumahan antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu bersama pemaju swasta.

Salah seorang pembeli, Mohd Rozik Daud, 40, berkata, dia menerima surat tawaran untuk pembelian rumah itu daripada syarikat pemaju pada 2011 dengan harga jualan RM68,000 dan dia bersama sebahagian pembeli yang lain membayar RM8,000 sebagai pendahuluan.

“Pada 2014 saya terima surat tawaran baru dari syarikat pemaju dan sebuah lagi syarikat kontraktor lain yang jadi pemaju bersama yang menyatakan harga jualan baru meningkat kepada RM73,000.

“Bagaimanapun, sehingga tahun lepas iaitu selama enam tahun rumah tersebut gagal disiapkan oleh pemaju,” katanya.

Berikutan itu, kesemua pembeli terlibat bersepakat menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak dan Mohd Rozik dilantik sebagai jurucakap untuk menuntut keadilan dan hak mereka sebagai pembeli.

Jawatankuasa Bertindak RMM Taman Sri Gemilang fasa dua itu juga telah membuat beberapa tindakan antaranya membuat laporan polis terhadap sebuah daripada syarikat pemaju terbabit.

Katanya, Tribunal Tuntutan Pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga mengarahkan pemaju membayar balik wang pendahuluan yang dikutip daripada pembeli.

"Jawatankuasa bertindak juga menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada April 2016 meminta dibuat siasatan dan tindakan sewajarnya.

"Sebagai ikhtiar berterusan, pembeli turut adakan pertemuan dan berbincang dengan Exco Kerajaan Negeri merangkap Adun Kemasik, Ir Rosli Othman," katanya.

Kata Mohd Rozik, pembeli sudah muak dengan keputusan dan janji pelbagai pihak setelah lebih enam tahun menunggu.

“Kita juga mengadakan pertemuan dengan peguam, Kamaruzzaman Yusof selaku Ketua Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi (LUHAM), Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu untuk dapatkan nasihat dari sudut perundangan," katanya.

Turut bersama Jawatankuasa Bertindak dalam perbincangan tersebut ialah Ketua Pemuda Pas Dun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Sementara itu, Rosli berkata, syarikat pemaju memberi jaminan akan menyelesaikan masalah yang dihadapi kesemua pembeli itu sebelum kontrak ditandatangani antara syarikat pemaju dengan pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.

“Kontraktor syarikat pemaju beri jaminan maknanya paling tidak pun syarikat pemaju kena pulangkan semula wang pendahuluan yang diambil daripada pembeli,” katanya.

Katanya, syarikat pemaju memberi jaminan itu kepada beliau ketika mengadakan mesyuarat khas bersama kedua-dua pihak berkenaan.

Menurut Rosli, secara keseluruhannya projek pembinaan perumahan berkenaan melibatkan empat fasa iaitu fasa A, B, C dan D yang mana bagi fasa A yang membabitkan 124 unit rumah, ia telah diserahkan.

“Fasa B melibatkan pembinaan 138 unit rumah manakala fasa C dan D telah dikeluarkan dari kontrak asal sebab kita nak minta kontraktor selesaikan dulu fasa B ini.

“Masalah ini timbul sebab kontraktor ambil wang pendahuluan sedangkan nama mereka yang layak belum pun dikeluarkan Unit Perumahan Kerajaan Negeri. Ini kerana pembelian RMM ada syaratnya iaitu kepada yang layak sahaja.

“Dalam hal ini, pembeli tempah dulu dan tak semestinya mereka layak untuk membeli. Sebelum ini pun kita dah nasihat kepada pembeli agar jangan bayar dulu. Namun begitu syarikat pemaju dah beri jaminan untuk pulangkan semula wang pendahuluan itu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Tidur-tidur ayam sudah menjadi perkara biasa buat penduduk di gigi pantai tatkala memasuki musim tengkujuh kerana bimbang rumah mereka dilambung ombak.
  • SUBANG BESTARI - “Kalau boleh saya nak minta tukar unit rumah lain, kasihanilah suami yang selalu kena sawan dan jatuh tak kira tempat,” rayu ibu anak enam, yang tinggal di pangsapuri milik Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Subang Bestari di sini.
  • KLANG - Ketua kampung dan penghulu diminta menyalurkan maklumat berkenaan ban yang rosak bagi membolehkan pihak berkuasa membaikpulih sebelum tibanya fenomena air pasang besar yang dijangka pada 3 hingga 7 November depan.
  • REMBAU - Tiga keluarga di Kampung Paya Lebar Luar, Pilin, di sini, kesal apabila laluan keluar masuk ke kediaman mereka dipenuhi lumpur serta berselut sejak lebih lima bulan lalu.
  • BERA - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mencadangkan usul untuk melantik pihak swasta bagi menguruskan dan menyelenggarakan sampah domestik di kawasan tanah rancangan itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.