SETIU - Rekod bersih belia Kampung Bukit Nenas dalam masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah mahu dikekalkan.

Pengerusi Kelab Belia Bukit Nenas, Sharifuddin Mohamed Ripin berkata, aktiviti berterusan yang dimainkan kelab belia sedikit sebanyak membantu golongan belia kampung itu menjalani kehidupan ke arah lebih baik dan sihat.

Menurutnya, rekod penyalahgunaan dadah di kalangan belia dan masalah sosial di Kampung Bukit Nenas itu cukup baik sekali sehingga mencapai angka zero sejak sekian lama.

"Mereka (belia) di sini sangat aktif bersukan walaupun kebanyakannya bekerja di ladang dan sektor pertanian.

"Lagipun kelab belia di sini aktif mengadakan pelbagai jenis program dalam usaha melahirkan golongan belia sihat," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Tertutup Kelab Belia Bukit Nenas di Dewan Kilang Sawit Sungai Tong.

Hadir sama, Pengerusi Penyelaras Pemuda Umno Dun Langkap, Rosmadi Nasir selaku perasmi majlis penutup kejohanan.

Sharifuddin berkata, berikutan itu juga, dia mahu perbanyakkan lagi aktiviti atau program kepada golongan belia di kampungnya.

SHARIFFUDIN.

"Rekod tahun-tahun sebelum ini mendapati aktiviti anjuran kelab adalah sebanyak empat hingga lima program setahun dan ia akan dipertingkatkan lagi pada tahun ini," katanya.

Sharifuddin berkata, melalui aktiviti sebegitu, hubungan di antara belia dan penduduk kampung menjadi lebih erat dan saling mengenali serta menghormati sesama mereka.

Dalam masa sama, dia mahu melahirkan belia yang berketrampilan dalam soal kepimpinan kerana kebanyakan program yang dianjurkan, golongan itu akan menguruskannya sendiri.

"Belia yang terlibat di dalam kelab ini berusia antara 13 hingga 30 tahun sahaja dan mereka dilatih menjadi pemimpin," katanya.

Secara tidak langsung akan timbul sikap tanggungjawab di dalam diri dari awal usia remaja lagi.

"Inilah golongan belia yang kita mahukan dalam meneraju negara pada masa hadapan iaitu penuh dengan jiwa kepimpinan dan telus dalam melaksanakan tugas," katanya.

Sementara itu, berhubung kejohanan yang bermula sejak 13 dan berakhir 23 Februari, melibatkan 24 pasukan dengan 48 orang penyertaan.