DUNGUN - Kecoh di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp apabila pelajar Islam di sebuah sekolah pedalaman di Hulu Dungun di dakwa diberikan lirik lagu mengagungkan gereja.

Lirik lagu berkenaan menjadi tular apabila aktivis pendidikan dan ibu bapa mempertikaikan tindakan tersebut.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku ketika sesi persekolah siang tadi.

Bagi mendapatkan kepastian berhubung isu tersebut, Sinar Harian mendapatkan maklum balas dari Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussain.

Shafrudin ketika dihubungi mengakui sudah menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut akan dilakukan.

"JPNT memandang serius isu ini dan akan membuat penyiasatan secara menyeluruh.

"Kita akan siasat mengapa perkara seperti ini boleh berlaku," katanya.

Beliau berkata, sekiranya benar seperti yang ditular, tindakan tegas akan diambil.

"Jika betul perkara ini berlaku di sekolah, kita akan lihat apa tindakan yang boleh diambil kepada guru bertanggungjawab.

"Tindakan akan diambil berdasarkan bidang kuasa dalam jabatan pendidikan," katanya.