MARANG -  “Saya terjaga apabila mendengar kedua ibu bapa saya menjerit ada ular senduk di dalam bilik mereka dan keadaan mula menjadi cemas," kata Suhaimi Abdullah di Jenang di sini, hari ini.

Menceritakan kembali kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Suhaimi berkata, reptilia berbisa itu cuba memasuki rumah keluarganya melalui atap di bahagian bilik bapanya, Abdullah Abdul Rahman.

Menurutnya, namun mujur bapanya tersedar sebelum mengejutkan ibunya, Wan Jahani Wan Nik dan keadaan bising di bilik berkenaan turut menyedarkan ahli keluarga lain dalam bilik berasingan.

"Kakak dan abang ipar juga berada di rumah dan kami kemudiannya bergegas memasuki bilik bapa dan melihat ular senduk itu cuba memasuki rumah namun ekornya masih berada di bahagian atap.

"Kerana bimbang ular itu melarikan diri dan masuk ke bahagian rumah yang sempit termasuk ke bahagian belakang almari saya terus menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga kemudiannya memantau pergerakan replilia itu agar dapat ditangkap pasukan anggota keselamatan itu, yang tiba di rumah berkenaan tidak lama kemudiannya.

“Kami sekeluarga lega kerana bapa sedar akan kehadiran ular itu kalau tidak kami tidak tahu apa yang akan berlaku. Lebih lebih lagi reptilia itu mampu mengancam nyawa kami," katanya.

Sepasukan tiga anggota APM Marang, diketuai Mohd Ariffin Ramly akhirnya berjaya menangkap ular senduk yang panjangnya hampir dua meter itu sebelum ditempatkan di dalam kurungan.