KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu yang masuk hari ketiga tidak banyak berubah dengan 333 mangsa daripada 110 keluarga masih berada di beberapa  pusat pemindahan  setakat 8 pagi ini berbanding 343 mangsa (114 keluarga) malam tadi.

Menurut laporan portal Info Banjir, dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) kini dibuka di daerah Kemaman dan Dungun menjadikan jumlah keseluruhan tujuh PPS beroperasi ketika ini.

Mangsa paling ramai ialah di Dungun iaitu 256 orang (93 keluarga di tiga PPS) manakala di Kemaman terdapat 77 orang (17 keluarga di empat PPS).

Di Dungun, jumlah mangsa yang berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor kekal tidak berubah iaitu 175 orang (61 keluarga) manakala di Dewan Orang Ramai Pasir Raja pula, jumlah mangsa kekal 77 orang (31 keluarga).

PPS yang baharu dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Minda Talong kini menempatkan empat sekeluarga.

Di Kemaman pula, Dewan Orang Ramai Teladas menempatkan 24 mangsa (empat keluarga),  Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu  (18 orang - lima keluarga), Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (23 orang - empat keluarga) manakala PPS yang baru dibuka iaitu di Kampung Pasir Gajah menempatkan 12 mangsa (empat keluarga).

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata dua sekolah ditutup hari ini kerana digenangi air iaitu SK Pasir Raja di Dungun melibatkan 63 murid dan 17 guru serta SK Pasir Gajah di Kemaman melibatkan 213 murid dan 23 guru.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Lt Kolonel Che Adam A Rahman berkata ketika ini hujan renyai dan sesekali lebat di hampir kebanyakan daerah di Terengganu dan ia dijangka berterusan sehingga esok. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Ketika daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mulai surut, kawasan Sri Medan, di sini, mengalami situasi yang berbeza apabila kawasan berkenaan pula dinaiki air.
  • KUANTAN - Keadaan banjir di daerah Pekan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
  • MUKAH - Kira-kira 1,350 penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.
  • MERSING - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, jam 6 petang tadi.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini turun mendadak kepada 289 orang daripada 68 keluarga setakat 3 petang ini berikutan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).