MARANG - Golongan nelayan, di sini meminta kerajaan agar mengawal harga peralatan digunakan nelayan bagi membantu meringankan bebanan golongan berkaitan.

Menurut mereka, selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), harga peralatan digunakan mereka terus meningkat termasuk pemberat pukat yang diperbuat daripada timah dari RM8 sekilogram kepada RM14 sekilogram.

Keadaan itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada golongan nelayan pantai ekoran terdapat kenaikan kos sebanyak enam peratus terhadap produk itu dan peralatan utama lain yang digunakan mereka untuk pada setiap hari.

Menurut wakil mereka, Ketua Sukarelawan Perikanan (Super) Merchang, Mohd Nasir Salleh, golongan terbabit mengakui pihak kerajaan sudah banyak membantu mereka namun masih ada nelayan yang terbeban dengan keadaan semasa itu.

“Banyak peralatan digunakan nelayan naik akibat GST termasuk pemberat pukat diperbuat daripada timah dari RM8 kepada RM14 sekilogram sejak tahun lalu. 

"Pemberat pukat adalah antara peralatan yang penting buat nelayan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, nelayan meminta agar kerajaan dapat mengawal kenaikan harga peralatan digunakan nelayan demi membela nasib mereka yang bergantung sepenuhnya dengan hasil menangkap ikan untuk menyara keluarga.

Difahamkan, nelayan memerlukan sekurang-kurangnya 30 kilogram pemberat untuk dipasang pada pukat mereka dan pemberat juga sering menjadi sasaran pencuri kerana harganya mahal dan mudah dijual di kedai besi buruk.

Mohd Nasir berkata, nelayan mengakui kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap keperluan dan kebajikan nelayan dari semasa ke semasa melalui pelbagai bantuan termasuk memberi bantuan pukat untuk menangkap ikan kepada nelayan.

“Bagaimanapun, pukat yang digunakan tidaklah dapat bertahan lama. Malah kadang kala ia boleh rosak selepas sekali digunakan sahaja dan perlu diganti segera. Apabila keadaan itu berlaku nelayan terpaksa mengeluarkan modal yang baru.

“Sebab itu, kita amat berharap pihak kerajaan agar dapat mengawal harga peralatan yang digunakan nelayan bagi membantu meringankan bebanan golongan ini dan dalam masa sama mengalu-alukan sekiranya pihak swasta ingin membantu,” katanya

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA KURAU - Sejumlah 26 bot nelayan ditahan Jabatan Perikanan Negeri Perak atas pelbagai kesalahan langgar syarat lesen melalui operasi pemantauan dan pengawasan vesel penangkapan ikan Zon Tengah yang dilancarkan bermula 14 hingga 20 Jun.
  • KUANTAN - Peluang bertentang mata bersama Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bagi dua nelayan disifatkan menjadi momen yang akan diingati sampai bila-bila.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.