KUALA TERENGGANU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Terengganu sedang mengesan seorang lelaki warga Indonesia bagi membantu perbicaraan kes penyeludupan di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu.

Lelaki berkenaan dikenali Azmal Akhsan berusia 32 tahun dan beralamat dari Kandangan, Kalimatan Selatan, Indonesia.

Pegawai Penyiasat, Mohd Jamri Mamat berkata, dia yang juga seorang Kapten Kapal di sebuah syarikat perkapalan di Kemaman hanya disedari menghilangkan diri selepas gagal hadir di peringkat akhir perbicaraan iaitu pada 26 Januari 2016.

"Kemudian, pada 29 Januari 2016, kami dimaklumkan oleh penjamin yang juga bekas majikan, lelaki tersebut sudah hilang dan gagal dikesan.

"Bagaimanapun, pasport miliknya ada dalam simpanan pihak mahkamah dan kami yakin, dia masih berada di dalam negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Mohd Jamri Mamat atau Mohd Hafidzi Yahya di talian 09-6204242 atau dimana-mana pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan yang berhampiran.