KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang pengedar dadah menanam stok dadah di dalam tanah bagi mengelak dihidu pihak berkuasa gagal apabila dia berjaya diberkas polis di sebuah rumah di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Tahir berkata, polis telah melakukan serbuan di sebuah rumah yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 20 tahun disyaki pengedar dadah terbabit hasil risikan selama tiga minggu.

Menurutnya, dalam serbuan pada jam 3 pagi itu, sejumlah 40 botol yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin berjaya dijumpai tertanam sedalam kira-kira 0.3 meter di belakang rumah terbabit.

“Pemeriksaan (pada) tubuh badan dan pemeriksaan ke atas rumah tidak menjumpai apa-apa barang salah. Namun, setelah disoal siasat, lelaki berusia 20 tahun itu mengaku telah menanam sejumlah dadah di belakang rumahnya.

“Setelah digali, polis berjaya menjumpai 40 botol mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 174 gram yang dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang juga merupakan seorang pengangur itu, juga turut mempunyai rekod kesalahan memasukkan dadah dalam badan pada awal Mei baru-baru ini.

Roslan berkata, suspek direman tujuh hari bermula semalam, sehingga 21 Mei untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalaha boleh di hukum gantung sampai mati.

“Melalui hasil tangkapan ini, kita percaya telah berjaya menumpaskan satu pengedaran dadah secara kecil-kecilan di sekitar kawasan daerah Kuala Nerus,” katanya.