HULU TERENGGANU - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun sanggup menggosok pakaian sekolah biarpun tahu dia tidak dapat meneruskan persekolahan kerana ketiadaan sijil kelahiran.

Ibunya, Hasiah Ismail, 41, buntu memikirkan nasib anaknya Muhammad Malikie Shamsul Rizal, 11, dilahirkan di Pekan Baru, Riau, Indonesia, ketika dia mengikuti bekas suaminya bekerja di sektor pembalakan sekitar tahun 2004 lalu.

“Ketika di sana, saya mengandung dan melahirkan Muhammad Malikie pada 5 Disember 2006. Rumah tangga saya ketika itu juga mengalami masalah sehinggakan saya tidak membuat pendaftaran bagi mendapatkan sijil kelahiran anak saya ini.

“Fikiran saya ketika itu benar-benar kusut sehinggakan tidak memikirkan masa depan anak saya ini. Arwah bekas suami pulang ke Malaysia terlebih dahulu, selang beberapa bulan selepas itu sekitar tahun 2008 barulah saya dan lima anak kembali ke tanah air," katanya.

Katanya, bekas suaminya berasal dari Pulau Pinang dan meninggal dunia sembilan tahun lepas.

"Saya akui kesilapan saya kerana kegagalan mendaftarkan kelahiran anak, sekarang ini dia tanggung kesannya hingga tidak dapat ke terus ke sekolah.

“Pernah pada awal-awal tidak dapat ke sekolah, dia tetap menggosok pakaiannya walaupun tahu tidak dapat menyarungkannya untuk ke sekolah. Hanya ALLAH yang tahu perasaan saya dan besar harapan ingin melihat dia kembali meneruskan pelajaran,” ujarnya.

Tambahnya, anaknya itu dibenarkan bersekolah dari darjah satu hingga tiga, namun apabila masuk darjah empat dia sudah tidak dibenarkan bersekolah.

“Saya telah pun berurusan dengan jabatan-jabatan terlibat bagi membolehkan anak saya ini kembali bersekolah tetapi oleh kerana ketiadaan sijil kelahiran, ia menyukarkan proses termasuk bagi mendapatkan pas pelajar.

“Mahu atau tidak saya perlu ke sana (Pekan Baru) semula berjumpa dengan konsulat Malaysia di sana sebagai usaha mendapatkan sijil kelahiran anak saya ini. Namun, saya tidak tahu bagaimana prosedurnya selain turut berdepan masalah kewangan," katanya.

Ketika ini dia turut berdepan masalah kesihatan melibatkan penyakit kencing manis, darah tinggi serta masalah saraf. "Sebagai ibu, saya berharap pihak berkenaan dapat bantu agar anak saya ini dapat kembali semula ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaludin Ismail ketika diminta mengulas perkara itu berkata, pihaknya sedia maklum berhubung hal itu dan ia telah dibawa ke Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

“Pihak jabatan telah pun membenarkan murid ini bersekolah selama tiga tahun sementara menunggu proses kelulusan mendapatkan dokumen berkaitan. Kita juga tertakluk pada Prosedur Operasi Standard (SOP),” ujarnya.

Mengulas mengenai isu berkenaan juga, Adun Ajil, Ghazali Taib berkata, perkara itu telah pun dalam tindakan pihaknya termasuk meminta JPNT memberi kebenaran khusus agar murid berkenaan dibenarkan semula ke sekolah walaupun masih belum mempunyai dokumen.

“Saya difahamkan, murid ini akan dapat kembali ke sekolah dalam tempoh terdekat ini.

"Pejabat Dun Ajil juga akan membantu berurusan dengan pihak kedutaan bagi mendapatkan sijil kelahiran atau apa-apa dokumen yang dapat sahkan identiti kanak-kanak ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - Sebanyak RM47.5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membiayai pengurusan sekolah agama di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) tahun ini.
  • KUALA KETIL - Hanya baki berjumlah RM25,000 diperlukan Sekolah Rendah Islam Raudhatul Muslimin (SRIRM) dari perkampungan Islam Sungai Kembal, di sini bagi menampung aktiviti dan keperluan pada bulan Ramadan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.