KUALA NERUS – Kampus induk Universiti P. Ramlee (UPR), yang dinaik taraf daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), akan dilancarkan di Taman Ilmu, Tembila, Besut pada 15 Mac ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kampus UPR itu dibangunkan bersama oleh kerajaan  negeri Terengganu, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Beliau berkata kewujudan kampus itu juga akan menyeimbangkan pusat-pusat pengajian tinggi yang ada di beberapa daerah lain di Terengganu seperti Universiti Teknologi Mara di Dungun, Bukit Besi dan Kuala Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin di Kuala Nerus dan Besut dan Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Nerus.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Program Profesor Bersama Masyarakat di sini, hari ini. Turut  hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara  Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata dua blok asrama di Taman Ilmu sudah digunakan dan sebahagiannya akan diambil alih oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menempatkan enam fakultinya.

Ahmad Razif berkata, perkembangan itu sekali gus menyangkal dakwaan bahawa pembinaan Taman Ilmu, yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, adalah projek yang tidak berjaya.

“Beberapa universiti swasta juga turut memohon untuk memasuki Taman Ilmu, yang akan menjadi pemangkin bagi merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata Taman Ilmu boleh menampung kapasiti sehingga 100,000 orang. - Bernama