KUALA TERENGGANU - Faktor kegagalan projek-projek industri pertanian negara sebelum ini perlu diteliti dan diambil kira sebaiknya sebelum bajet disalurkan dan dibelanjakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia bagi memastikan kerajaan ‘tidak mencurah garam ke laut’ yang tidak memberi apa-apa kesan dan hasil.

Bagaimanapun katanya, Belanjawan 2019 yang diumumkan semalam adalah bajet yang mencukupi dan memadai dalam suasana ekonomi negara sekarang.

“Peruntukan kepada sektor pertanian bermakna peruntukan untuk menjamin ‘food security’ bagi negara.

“Saya mengharapkan dengan peruntukan RM117 juta bagi tiga fokus utama sektor pertanian terdiri daripada penelitian dan pengembangan (R&D), automasi industri makanan serta keusahawanan dan latihan industri tani akan mampu memacu sektor pertanian negara ke satu tahap yang lebih baik.

“Perancangan yang baik, pemilihan peserta yang tepat, berminat, berkemahiran serta berdaya tahan ditambah dengan perlaksanaan dan pemantauan yang teratur akan menjadi antara faktor kejayaan,” katanya.

Dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan memperuntukkan RM47 juta untuk R&D bagi meningkatkan produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan bagi sektor pertanian.

Selain itu, RM18 juta diperuntukkan untuk automasi industri agro makanan dan RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani, termasuk bagi menarik penglibatan golongan muda menceburi sektor agro makanan.

“Saya sangat menyokong sejumlah peruntukan besar disalurkan dengan adil ke semua negeri bagi perlaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani bagi menarik minat dan penglibatan golongan muda menceburi bidang agro makanan.

“Masa depan agro makanan negara bergantung kepada mereka. Kita ingin golongan muda melihat industri tani sebagai kerjaya manusia yang berjaya. Pertanian bukan bidang manusia yang gagal dalam hidup, tetapi pertanian adalah perniagaan,” katanya.