HULU TERENGGANU - Kadar pesakit buah pinggang dalam kalangan penduduk di negeri ini menunjukkan tren peningkatan membimbangkan dengan buat masa ini seramai 1,288 pesakit adalah kritikal dan memerlukan rawatan dialisis.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mohd Iskandar Jaafar berkata, 60 peratus daripada jumlah itu akibat daripada penyakit kencing manis yang membawa kepada kegagalan buah pinggang.

“Melihat senario ini, kita nampak ia perkara boleh dielakkan apabila pesakit kencing manis dapat dikurangkan secara tidak langsung pesakit buah pinggang juga akan menurun atau tiada kes baharu. Oleh itu, kita perlu lakukan perubahan gaya hidup.

“Kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman(TDI) juga pada tahun lepas telah belanjakan RM6juta untuk  membiayai kos rawatan 3,426 pesakit pelbagai jenis penyakit. Lebih separuh daripada bilangan itu adalah penghidap penyakit buah pinggang sahaja," katanya.

Bagi tiga bulan pertama tahun ini pula, sebanyak RM2 juta telah dibelanjakan, tidak mustahil perbelanjaan meningkat jika masyarakat tidak menjaga kesihatan. Antara penyakit membawa kepada kegagalan fungsi buah pinggang ialah darah tinggi, kencing manis serta obesiti.

Malah pada tahun lalu juga Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu membelanjakan RM12juta hanya untuk penyakit buah pinggang sahaja. Selain itu, di seluruh negeri kita mempunyai sembilan pusat hemodialisis setakat ini, katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia dan Karnival Perubatan Peringkat Negeri Terengganu 2017, di sini, mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JABI - Program pemberian rumah percuma yang dikenali Rumah Komuniti hanya dilaksanakan membabitkan empat kawasan Dun di Parlimen Besut sahaja.