KUALA TERENGGANU - Seekor penyu seberat 50 kilogram (kg) ditemui dalam sebuah bot nelayan asing yang ditahan dalam operasi Op Perkasa Timur dan Op Marikh oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, Rabu lalu.

Pengarah Maritim DM9 Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, dalam operasi itu, dua buah bot nelayan asing berjaya ditahan termasuk 14 awak-awak warganegara Vietnam berusia lingkungan 16 hingga 48 tahun.

“Penyu itu ditemui dibawa dalam sebuah bot nelayan asing yang ditahan pada jam 10.30 pagi, ia dipercayai tersangkut pada jaring dan diambil untuk dijual atau kegunaan mereka sendiri. Ini kali pertama kita menemui penyu yang dibawa dalam bot nelayan asing yang ditahan.

“Selain penyu, terdapat juga ikan yu seberat 40kg serta kira-kira 5,000 liter minyak diesel dalam sebuah lagi bot yang mula-mula ditahan jam 8.50 pagi pada hari yang sama," katanya pada sidang media, di Pejabat DM9, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rahim berkata, pagi tadi sebuah lagi bot kargo dianggarkan bernilai RM800,000 dengan muatan dua bidang pukat dan satu set tali tunda ditahan jam 5.24 pagi.

Katanya, turut ditahan empat awak-awak warganegara Vietnam berusia 17 hingga 48 tahun.

“Bot kargo itu dipercayai digunakan sebagai ibu bot untuk aktiviti pukat tunda yang dijalankan secara haram.

“Kesemua tiga bot termasuk bot kargo serta peralatan dan hasil tangkapan yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta,” katanya.

Kes itu akan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DUNGUN - Kakitangan Pusat Penyu dan Spesies Marin Terancam (Tumec), FRI Rantau Abang serta Pusat Penerangan Penyu Jabatan Perikanan Terengganu giat membuat rondaan di sekitar pantai Rantau Abang sehingga ke Jambu Bongkok bagi memantau kunjungan seekor penyu belimbing yang dijangka bertelur untuk kali ketiga.
  • PORT DICKSON - Bangkai seekor penyu jenis karah ditemui oleh nelayan di Pantai Sea View Tanjung Gemok sekitar jam 7.30pagi tadi.
  • KERTEH - Seramai 40 pelajar daripada 10 buah sekolah menengah di negeri ini meraih pengalaman berharga dalam konservasi penyu menerusi Kem Penyu Terengganu anjuran WWF-Malaysia dan Pusat Kreativiti Terengganu (PSKT) yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Santuari Penyu Ma’ Daerah.
  • KUANTAN - Kerajaan negeri mahu lebih banyak badan korporat tampil menjalinkan kerjasama dalam usaha pemuliharaan penyu yang dilaksanakan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Cherating.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.