HULU TERENGGANU - Destinasi pelancongan Tasik Kenyir, di sini, kini mempunyai satu lagi daya tarikan menarik setelah pewartaannya sebagai Zon Bebas Cukai  dengan aktiviti penjualan barangan dikecualikan cukai telahpun beroperasi secara rasminya hari ini.

Majlis Pelancaran Operasi Jualan Zon Bebas Tasik Kenyir berlangsung di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini, hari ini disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dengan diiringi  Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail.

Menurut Ahmad Razif, pelancaran bagi pembukaan fasa pertama itu melibatkan jualan seperti coklat, bagasi, set pinggan mangkuk, peralatan memasak serta minyak wangi dan tidak membabitkan aktiviti jualan barangan berduti tinggi seperti minuman beralkohol, rokok mahupun kenderaan.

"Pelancaran operasi jualan Zon Bebas Cukai ini merupakan satu titik tolak kepada dimensi baru pembangunan Tasik Kenyir. Apabila siap seluruh kompleks di bawah Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pulau Bayas nanti akan menyediakan lebih banyak tarikan sebagai tambahan kepada sediada seperti santuari kelah, Kenyir Island Shopping serta Kenyir Elephant Conservation Village (KECV).

"Berdasarkan perancangan, fasa seterusnya melibatkan pembukaan zon bebas cukai di Pulau Bayas yang dijangka dibuka  pertengahan tahun depan.Hasrat dan perancangan kita supaya suatu hari nanti Tasik Kenyir menjadi Zon Bebas Cukai yang terbesar serta destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.

"Kita juga berharap zon bebas cukai di Tasik Kenyir ini menjadi setanding dengan zon bebas cukai lain yang terdapat di Pulau Langkawi, Rantau Panjang dan Padang Besar pada masa akan datang. Tasik Kenyir juga berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab ekonomi Pantai Timur, " katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian majlis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail; Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta pengarah-pengarah serta ketua-ketua jabatan.

Tambah Ahmad Razif, Zon Bebas Cukai juga mampu memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan kerana polisi kerajaan Negeri masih lagi mengekalkan 70:30 iaitu antara anak tempatan dengan pekerja asing apatah lagi kerajaan Negeri akan sentiasa pastikan segala projek atau pembangunan dijalankan turut mampu memberi impak kepada khususnya kepada rakyat.