BESUT - Orang ramai berpeuang memasuki kawasan Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) sempena Jambori Basikal RMAF-GKCC 3.0 Bukit Puteri MTB Challenge 2018 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini (Jumaat).

Tanpa program seumpama itu, lazimnya orang awam tidak  boleh memasuki kawasan Pangkalan itu dekat Jertih, di sini, sewenangnya kerana ia adalah kawasan larangan.

Namun dalam tempoh dua hari program, orang ramai boleh mengambil peluang memasuki kawasan yang dikhaskan di pangkalan itu bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Pegawai Laksana (EXO) PUGK, Leftenan Kolonel Wan Zainal Abidin berkata, pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pangkalan tersebut kini sedang membuat persiapan akhir untuk acara basikal tersebut dan acara sampingan iaitu pameran.

Menurutnya, kejohanan ini melibatkan 1,300 peserta terdiri daripada warga TUDM dan awam dari seluruh negara.

"Pihak kami juga akan mengadakan pertunjukan payung terjun oleh Pasukan Khas TUDM, pameran ketenteraan dan gerai-gerai jualan serta promosi oleh syarikat-syarikat yang dijemput," katanya.

Wan Zainal berkata lagi, perkhidmatan bas akan disediakan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dan sehubungan itu orang ramai dijemput hadir memeriahkan program tersebut.