KUALA TERENGGANU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu sedia membantu mangsa yang terlibat dalam kebakaran yang melibatkan 13 premis di Jalan Petani, berhampiran Dataran Shahbandar, di sini, 16 Jun lalu.

Pegawai Penyelaras Dun Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, terdapat dua bantuan yang boleh dituntut oleh mangsa iaitu bantuan perniagaan dan bantuan rumah yang disalurkan melalui Tabung Darul Iman.

“Melalui Tabung Darul Iman, kita ada peruntukan khas untuk membantu rakyat yang ditimpa musibah, bagi perniagaan,  biasanya peniaga yang layak menuntut bantuan musibah ialah perniagaan yang modalnya di bawah RM5000.

“Kita juga ada peruntukan sebanyak RM40,000 untuk bina baru rumah, sekiranya tuan rumah ingin buat sendiri, kita akan beri bantuan sebahagian sahaja iaitu RM25,000 dengan syarat, tanah bagi kediaman yang musnah ialah tanah sendiri,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan bersama mangsa kebakaran di Kampung Tanjung, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCA Negeri, Datuk Toh Chin Yaw dan Ketua Penolong Pengarah JKM Negeri, Zainal Omar.

Mohd Sabri berkata, bantuan yang diperuntukkan itu akan diselesaikan dalam tempoh seminggu selepas semua maklumat terperinci mengenai mangsa kebakaran diperoleh memandangkan tarikh perayaan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir.

“Yang menjadi kesulitan di sini ialah kebanyakan premis yang terlibat adalah sewaan dan ada sebanyak tiga premis yang tidak berpenghuni. Bagi premis yang tidak berpenghuni kita tak boleh bantu, bagi premis sewaan pula kita ada sedia bantuan pemulihan kepada penyewa.

“Selain itu, terdapat juga premis yang diduduki tetapi bukan atas tanah sendiri, yang ini kita tak dapat bantu untuk bantuan bina rumah, namun, kita akan usahakan bagi mereka yang terlibat untuk mendapatkan rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran kerana ada yang masih kosong,” katanya.

Mengulas mengenai perbincangan dari segi bantuan bersama mangsa kebakaran, katanya, ia berjalan secara baik.

“Perbincangan positif, ini pendekatan yang kita ambil secepat mungkin kerana kita nak tahu apa yang dikehendaki mereka dan masalah yang dihadapi mereka bagi tujuan saluran bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sabri berkata, Umno Kuala Terengganu telah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada mangsa terlibat ketika pertemuan bersama mereka hari ini.

“Walaupun di Kuala Terengganu tiada wakil rakyat Barisan Nasional, kita akan tetap bantu mangsa dan bantuan ini sentiasa tersedia untuk rakyat kerana inilah khidmat kita kepada rakyat.

“Kita bantu rakyat bukan hanya pada PRU, kita bantu setiap masa. Kita akan lihat apa kebajikan yang boleh dibuat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Chin Yaw berkata, MCA Terengganu akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa terlibat.

“Memandangkan musim perayaan akan tiba tidak lama lagi, kita akan beri sedikit sumbangan bantuan kepada mereka.

“Ia sebagai tambahan untuk bantu ringan kan beban mereka menjelang hari raya ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MACHANG BUBOK - "Walaupun sedih dengan dugaan ini, tapi saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dalam musibah yang berlaku baru-baru ini."
  • SABAK BERNAM - “Saya nampak kepulan asap hitam, ingatkan kebun terbakar, tapi tak sangka bila sampai dekat nampak api julang tinggi bakar (sebuah) rumah penduduk,” kata Mohamed Ali Abdul Hamid, 39, saksi kejadian kebakaran di Jalan Masjid, Kampung Sungai Tengar Utara, di sini, kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.