• Kontinjen berbasikal tua Kontinjen berbasikal tua dari Kampung Pulau Panjang, Jertih, Besut memeriahkan acara sambutan Merdeka Raya Besut 2012 yang berlangsung di Pantai Peranginan Air Tawar semalam. Wa
  • Warga Besut yang masih tebal semangat patriotik berarak pada program Merdeka Raya. Warga Besut yang masih tebal semangat patriotik berarak pada program Merdeka Raya.
1 /

PANTAI AIR TAWAR –Program Merdeka Raya 2012 peringkat daerah Besut di Dataran Pantai Peranginan Air Tawar di sini disambut meriah dengan penyertaan lebih 20,000 orang, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

Ribuan rakyat menyertai sambutan dan perbarisan yang bermula jam 8 pagi sebagai bukti semangat patriotik masih tertanam dalam jiwa mereka.

Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh bersama saf kepimpinan daerah ini menerima tabik hormat dari setiap kontinjen di laluan masuk ke dataran berhampiran Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Besut.

Hadir sama Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Nawi Mohamad, Adun Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, Adun Jabi, Ramlan Ali, dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ibrahim Mohamad, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd (Sinar Harian), Muhammad Nasir Hamzah dan ketua jabatan.

Perarakan masuk kontinjen yang mewakili jabatan kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain selain perarakan pemilik motosikal roda tiga cukup memeriahkan suasana.

Perarakan konvoi kira-kira 1,000 belia bermotosikal, ratusan teksi dan kereta sewa, lori ikan, kenderaan pacuan empat roda dan kereta berhias pula tambah menggamatkan acara.

Idris kemudiannya bergerak ke pentas utama dan mendengar bacaan al Quran dan pidato oleh Johan Program Realiti TV Adik-Adikku Musim Ketiga 2012, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 13, dari Alor Keladi, Hulu Besut.

Semangat pengunjung terus disuntik dengan nyanyian lagu Negaraku, diikuti gimik perasmian menyelamat tebusan oleh pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan memotong pulut semangat oleh Idris serta barisan kepimpinan.


Kereta berhias catat sejarah

Sambutan kali ini mencatat sejarah apabila perarakan kereta berhias yang tidak disaksikan di daerah sejak sekian lama diadakan bermula malam kelmarin lagi bermula dari Kuala Besut dan Pasir Akar kemudian bertemu di bandar Jertih sebelum meneruskan ke Kampung
Raja.

Ribuan penonton berdiri di kiri dan kanan sepanjang laluan kereta berhias pada malam kelmarin untuk menyaksikan perarakan penuh warna warni dan kreatif.

Di bandar Jertih pula, orang ramai dari segenap kampung dan taman daerah ini turut memenuhi jalan raya untuk menyaksikan perarakan yang sama di samping perarakan membawa tanglung yang turut disertai Idris.

Pada sambutan semalam, Idris menyampaikan hadiah kepada pemenang kereta berhias yang dimenangi Jabatan Pertanian Daerah di tempat pertama diikuti Jabatan Kerja Raya (JKR) Besut  di tempat kedua dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Putera ketiga.

Kontinjen yang menyertai perbarisan turut menerima hadiah mengikut kategori masing-masing.

Sementara itu, pengunjung, Mohd Sabri Hussin, 40, berkata, sambutan Merdeka Raya tersebut amat berjaya dan menyaksikan kehadiran yang ramai, malah ia boleh disifatkan seolah-olah penganjuran bertaraf kebangsaan.

“Program seperti ini wajar diadakan secara tahunan dan ia amat meriah. Bagaimanapun beberapa kelemahan boleh dibaiki, antaranya ribuan penonton terpaksa pulang apabila tidak dapat menyaksikan sambutan tersebut kerana laluan ditutup untuk memberi laluan kepada perarakan,” katanya.

Sementara itu menurut Idris, beliau berterima kasih dengan sebuah pihak dan individu yang terlibat malah menyifatkan sambutan dan sokongan ribuan orang itu bermakna majoriti rakyat negara ini mahukan keamanan dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.