KUALA TERENGGANU- “Kami tak buat salahpun, sekadar keluar jalan-jalan dan makan sahaja,” demikian alasan diberikan majoriti pasangan kekasih yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas didapati menunggang motosikal sambil berpelukan dalam Ops Bonceng di Batu Buruk, di sini, Jumaat lalu.

Operasi bersepadu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen Malaysia itu dijalankan seawal jam 9 malam.

Dalam operasi berkenaan, seramai 20 individu daripada 10 pasangan ditahan selepas didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 30 tahun ketika didapati menunggang dan membonceng motosikal sambil berpelukan dan berpegangan dengan bukan mahram.

Katanya, semua yang ditahan diberikan notis untuk sesi kaunseling di pejabat JHEAT, sebelum diberi amaran dan akan ditahan jika terus mengulangi perbuatan yang sama.

“Sebaik sesi kaunseling, mereka perlu mengisi borang khas untuk rekod JHEAT dan sekiranya didapati ingkar serta masih mengulangi perbuatan sama, mereka ini akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

“Bukan niat untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi operasi ini bertujuan membendung gejala tidak sihat terutama membabitkan golongan muda,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Wan Mohd, pihaknya akan meneruskan Operasi Bonceng dari semasa ke semasa dalam usaha untuk mencegah pasangan yang belum berkahwin daripada melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

“Menyedihkan didapati ramai dalam kalangan pasangan kekasih hari ini langsung tidak tahu perbuatan mereka menunggang dan membonceng motosikal adalah dilarang dari sudut agama lebih-lebih lagi bagi pasangan yang berpelukan dan berpegangan dengan bukan mahram.

“Semasa disoal, dengan yakin mereka menafikan sekeras-kerasnya melakukan kesalahan meskipun ketika ditahan sedang berpelukan kerana bagi mereka tidak salah, dan sekadar keluar untuk berjalan-jalan serta makan-makan sahaja,” katanya kesal.

Jelas Wan Mohd, hasil pemantauan dibuat pihaknya mendapati, masih terdapat ramai dalam kalangan pasangan Islam yang menunggang dan membonceng motosikal melebihi jam 12 tengah malam.

Katanya, JHEAT memandang serius perkara ini kerana kebanyakan pasangan ditangkap berkhalwat di bilik-bilik hotel, rumah tumpangan, chalet dan sebagainya adalah pasangan yang pergi ke destinasi itu dengan menunggang motosikal.

“Bagaimanapun, setakat hari ini, pihak kami tidak pernah lagi menahan pasangan yang menaiki kereta seperti mana yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan sebelum ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :