KUALA TERENGGANU - Bergelar pelajar kurang upaya tidak bermakna mereka tidak dapat melakukan sesuatu yang boleh membanggakan diri sendiri, keluarga dan guru.

Buktinya, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, Jannatul Iman Mohd Amri, 15, berjaya menjadi johan Pertandingan Tilawah Al-Quran kategori Orang Kurang Upaya (OKU) daerah ini pada tahun lepas.

Kejayaan itu tidak berhenti di situ sahaja, malah diteruskan ke peringkat negeri, dan Jannatul mendapat naib johan dalam kategori sama di peringkat negeri Terengganu pada tahun sama.

Ekoran kejayaan itu, bakat bekas pelajar salah sebuah madrasah di Chendering ini terus digilap bagi membuka mata masyarakat di luar sana untuk memandang tinggi kebolehan OKU sepertinya.

Menurut Jannatul Iman, ketika bersekolah rendah, dia belajar di sebuah madrasah di daerah ini sehingga melayakkannya memasuki pertandingan tilawah yang didorong guru dan juga keluarganya.

Bagaimanapun, anak ketujuh daripada 10 beradik itu turut meminati bidang jahitan dan dia antara salah seorang pelajar di dalam kelas itu yang dapat menyiapkan sepasang baju kurung pada tahun lepas.

“Saya memang suka menjahit, senang saja hendak belajar dan alhamdulillah dapat juga siapkan sepasang baju kurung yang juga menjadi baju kegemaran saya.

“Walaupun saya tidak tahu langsung menjahit, tetapi sebab ikut cikgu ajar, saya boleh buat dan akan buat lagi jika diberi peluang kerana suka menjahit,” katanya yang ditemui di sekolahnya, semalam.

Anak pasangan Mohd Amri Ngah@Mamat dan Norhayati Bashir itu turut menjadi harapan guru di sekolah berkenaan untuk pertandingan sama pada tahun ini.

Menurut Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Seri Nilam, Nazida Ibrahim, Jannatul Iman seorang pelajar yang serba boleh.

“Dia juga aktif bersukan selain pandai menjahit dan fasih dalam bacaan al-Quran. Pelajar macam ini perlukan sokongan guru dan ibu bapa untuk mereka mengasah bakat. Bila kita bagi sokongan, dia akan rasa yakin dengan diri sendiri kerana tahu orang di sekelilingnya menghargai apa yang dilakukan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.