BESUT - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut meminta masyarakat melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada kakitangan agensi tersebut yang tidak amanah dalam menjalankan tugas.

Ketua Pegawai AADK Besut, Normayati Mat Nawi berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan orang ramai membuat aduan kepada beliau atau SPRM sekiranya mendapati ada pegawai atau kakitangannya yang tidak integriti seperti meminta wang bagi menyelesaikan kes dadah.

Menurutnya, masyarakat jangan takut berbuat demikian kerana jika ada kakitangan sedemikian bukan sahaja akan memberi impak negatif kepada keseluruhan agensi malah usaha menyelesaikan isu dadah juga sukar.

“Saya sering beri peringatan kepada kakitangan saya supaya amanah dalam tugas dan jangan sesekali berkompromi dalam isu penyalahgunaan dadah.

“Namun syukur kerana setakat ini masalah salah laku di kalangan kakitangan saya tidak berlaku dan langkah ini adalah sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Normayati berkata, beliau berpuas hati kerana setakat ini pegawai dan anggotanya bertugas dengan penuh dedikasi tanpa mengira masa termasuk komitmen padu dalam pelbagai program diadakan seperti membabitkan operasi, program pencegahan dan sebagainya.

Katanya, orang ramai yang ingin membuat aduan kepada beliau boleh menghubunginya ditalian 09-695 8594.