KUALA NERUS - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarah untuk mengambil tindakan segera sekiranya ada bendera parti di pasang di tempat larangan bagi mengelak kemungkinan wujud ketegangan antara penyokong.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tindakan tegas itu perlu diambil memandangkan provokasi boleh tercetus disebabkan isu pemasangan bendera parti.

Malah Ahmad Razif yang juga pengerusi BN negeri juga menyambut baik langkah proaktif Polis Terengganu yang telah mengenal pasti individu yang berkemungkinan akan mencetuskan kekacauan pada PRU14 nanti.

"Tindakan awal sedemikian juga mampu memastikan aspek keselamatan lebih terjamin.

"Sebagai pemimpin Umno negeri juga saya nasihatkan kepada semua ahli parti untuk kembali kepada budaya dan adat kita.

"Sekiranya ada (penyokong) yang berani buat, mereka juga perlu berani menanggung risiko (dikenakan tindakan),"katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera PRU14 Wanita Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Wanita BN yang juga Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.