KUALA TERENGGANU - Semua pihak diminta tidak membuat persepsi melulu terhadap hukuman sebat yang dikenakan terhadap pasangan lesbian, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, proses hukuman itu berjalan secara tertib dari awal hingga akhir.

"Saya berada di barisan hadapan menyaksikan dari awal hingga akhir proses perlaksanaan hukuman.

"Bagi yang hadir, ia sangat jelas berbanding persepsi yang cuba dilemparkan kononnya ia zalim, kejam, mengaibkan dan tidak berperikemanusiaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa hukuman itu menggambarkan ketidakadilan menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya, hari ini.

Amzad menambah, keadilan jelas dilihat daripada prosedur itu selain menjaga maruah pesalah serta meninggalkan teladan kepada mereka yang menyaksikan proses itu.

"Suasana ketika hukuman sedang berjalan begitu aman.

"Hukuman juga dikenakan secara bertimbang rasa dan menjaga maruah serta hak asasi pesalah," katanya.