KUALA TERENGGANU - Umat Islam dinasihatkan untuk tidak mengambil kesempatan terjebak dalam judi bola walaupun sekadar suka-suka.

Imam Besar Masjid Negeri, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, ia kerana sebarang bentuk pertaruhan termasuk dalam perbuatan judi.

"Mungkin ada antara kita yang terjebak untuk hanya suka-suka tetapi ia tetap haram.

"Tidak kira berapa jumlah pertaruhan tetap berdosa walau RM10," katanya.

Menurutnya, perkara ini sepatutnya diambil cakna oleh umat Islam untuk tidak menggunakan alasan sekadar suka-suka untuk terjebak.

Ditanya antara punca menyebabkan masih ada umat Islam terjebak biarpun ia jelas dilarang dalam agama, katanya, kecetekan ilmu agama antara salah satu faktor.

"Ada yang tau ia salah tapi tetap buat juga, ada yang mungkin tidak tahu hukum perbuatan berkenaan.

"Apapun, perbuatan itu perlu dielak malahan wang hasil perjudian juga tidak beroleh keberkatan dan akan mematikan hati sekiranya dibelanjakan untuk makanan," katanya.