DUNGUN - Janda anak tujuh antara penagih yang ditahan dalam ops tapis di ladang skelapa sawit Felda Jerangau, hari ini

Wanita berusia 37 tahun itu ditahan bersama 14 lelaki dalam serbuan yang digerakkan bahagian siasatan jenayah dan narkotik IPD Dungun.

Mengikut rekod, penahanan ke atas janda berkenaan bukan kali pertama tetapi sudah berulang-ulang atas kesalahan sama iaitu penyalahgunaan dadah.

Bukan sahaja mengambil bahan terlarang, kumpulan penagih berkenaan langsung tidak menghormati bulan Ramadan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, operasi dilakukan bermula jam 8.30 pagi dan pihak polis terlebih dahulu membuat intipan.

"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 35 hingga 50 tahun.

"Pemeriksaan tubuh badan tidak menemui apa-apa barang salah dan kesemua dibawa ke pejabat narkotik untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Morphine.

"Hasil soal siasat kesemua mereka mengaku mengambil dadah dan mendapatkan bekalan dari pengedar tempatan.

"Kes disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (APD) 1983,"katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di Ketengah Jaya Ahad lalu lima lelaki berusia 33 hingga 55 tahun ditahan.

"Menerusi Ops Sarang lima lelaki termasuk salah seorangnya orang dikehendaki membabitkan kes waran tangkap ditahan.

" Empat lagi suspek ditahan kerana memiliki dadah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dab Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952,"katanya.