KUALA TERENGGANU - Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) jamin bekalan air batu terputus sejak seminggu yang lalu dialami oleh nelayan dan pembekal ikan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selesai tidak lama lagi.

Pengerusinya, Mat Yassim Mohamed berkata, bekalan terputus ekoran mesin memproses air batu di kilang Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) di Chendering rosak, sehingga perlu mendapatkan bekalan dari luar bagi menampung keperluan.

“Jadi Nekmat terpaksa ambil bekalan air batu dari kilang berdekatan, iaitu di Kuantan dan Tok Bali.  Manakala Penentu juga akan mulakan operasi memproses ‘iceblock’ bermula esok (hari ini) untuk membantu menampung keperluan Nekmat.

“InsyaALLAH, bekalan ada.  Cuma mereka perlu keluarkan caj tambahan ekoran bekalan yang diambil  dari luar untuk menampung kos pengangkutan.  Jika sebelum ini satu bongkah sekitar RM13 menjadi RM16- RM17,” katanya kepada Sinar Harian.

Meurutnya, masalah tersebut dijangka selesai apabila Nekmat akan menggantikan compresor pada mesin yang rosak itu dengan yang baharu namun perlu mengambil sedikit masa kerana ia perlu  dapatkannya dari luar negara.

“Ia  dijangka sampai kira-kira empat minggu lagi. Cuma kita minta, para nelayan bersabar kerana ia di luar jangkaan kita,” katanya.

Beliau juga berharap perkara itu dapat diselesaikan cepat agar tidak gugat para nelayan mencari rezeki memandangkan, tengkujuh pula bakal tiba.

Sementara itu, seorang pemilik bot, Mohd Shahrul Redzuan Aziz, 28, berkata, ekoran masalah itu, tiga bot miliknya tidak dapat keluar menangkap ikan seperti kebiasaan.

“Hanya sebuah bot yang mempunyai penyaman udara dapat keluar kerana tidak perlu bekalan air batu yang banyak.  Tiga bot lagi, kita terpaksa rehatkan sementara.  Selain kos air batu jadi meningkat, terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk dapatkan stok air batu.

“Malah, pernah cuba ais kiub tetapi ia tidak mampu bertahan lama,” katanya.

Menurutnya, bagi setiap bot memerlukan sekurang-kurangnya 10 bongkah air batu dan berharap ia dapat beroperasi seperti biasa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.