JAMBATAN angkat atau drawbridge bakal menjadi satu lagi mercu tanda kebanggaan rakyat Terengganu apabila ia siap sepenuhnya September ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ketika ini projek sepanjang 632 meter yang melibatkan kos lebih RM200 juta itu telah mencapai tahap 85 peratus siap.

Katanya lagi, jambatan ikonik yang menghubungkan Muara Selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan Muara Utara di Seberang Takir itu juga bakal menyelesaikan masalah kesesakan di atas Jambatan Sultan Mahmud.

“Sekiranya projek ini berjalan lancar kita jangka dalam bulan Oktober kemudahan ini dapat digunakan sepenuhnya berserta dengan projek corniche road yang siap dalam masa terdekat ini.

“Kita percaya dengan siapnya jambatan yang pertama ada di Asia Tenggara ini bukan sahaja dapat mengatasi kesesakan di atas Jambatan Sultan Mahmud tetapi bakal menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke tapak projek jambatan angkat itu di Seberang Takir, semalam.

Jelas Ahmad Razif lagi, pembinaan jambatan angkat yang termasuk antara projek pembangunan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTTC) itu juga diyakini bakal menarik lebih ramai pelabur luar ke negeri ini.

Sementara itu, awal Februari lalu Ahmad Razif turut menyempurnakan pecah tanah bagi projek membina dan menaik taraf jalan baharu yang menghubungkan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC) melalui jambatan angkat ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dengan kos RM60 juta.

Projek yang terbahagi kepada dua pakej itu dilaksanakan kerajaan pusat melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama kerajaan negeri.