KUALA TERENGGANU – Peniaga Pasar Tani Permint Jaya, Chendering, menghasilkan bendera Malaysia dengan menggunakan 750 biji bawang putih yang memakan masa hampir tiga jam bagi menyiapkan keseluruhan bendera yang menjadi kebanggaan peniaga itu.

Pengerusi Pasar Tani Permint Jaya, Abdul Razak Salleh berkata, masa dan tenaga yang mereka habiskan untuk menghasilkan bendera berkenaan tidaklah begitu besar maknanya jika dibanding pengorbanan para pejuang yang bertungkus-lumus berusaha memerdekaan tanah air.

Bagaimanapun, bagi menzahirkan kecintaan peniaga di pasar tani itu, mereka sepakat melakukan sesuatu bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara dengan menghasilkan bendera daripada bawang putih.

“Kos bagi menghasilkan bendera ini hanya RM300, tetapi kerjasama dan semangat kami (peniaga) dalam membentuk bendera dengan bawang (putih) sangat berharga bagi kami kerana semuanya sepakat sehingga hasilnya cukup membanggakan.

“Kerjasama ini juga membuktikan wujudnya perpaduan di antara kami sebagai rakyat Malaysia yang diajar untuk terus bersatu dalam membentuk sebuah negara yang aman dan makmur,” katanya kepada Sinar Harian sempena Program Jimat Belanja Sempena hari Malaysia di Pasar Tani Permint Jaya, di sini.

Abdul Razak berkata, bendera yang dihasilkan itu juga menjadi contoh kepada anak-anak muda untuk sayangkan negara supaya mereka dapat mengenang jasa pejuang terdahulu sehingga mereka dapat tinggal di dalam negara yang telah merdeka, bebas daripada penjajah.

Katanya, program seperti itu akan diadakan setiap tahun malah akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan bagi Pasar Tani Permint Jaya.

“Kita cadang program ini sebagai acara tahunan di sini yang akan diadakan lagi pada tahun-tahun akan datang,” katanya.