KAMPUNG RAJA - Seorang peniaga pasar malam menggigil ketakutan apabila mengetahui besi yang termasuk dalam jala ikannya petang kelmarin rupa-rupanya sebutir bom yang masih aktif.

Lelaki tersebut, Mustapha Othman, 54, berkata, bom tersebut terkena jala ketika dia menjala di sebatang tali air dekat kawasan sawah padi Kampung Lahar dekat Alor Lintang, di sini, kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, sebelum itu dia bersama tiga anak berusia 7 hingga 15 tahun manakala jirannya tiga beranak pergi ke situ untuk menjala ikan.

“Saya sering pergi menjala ikan di situ tetapi tidak pernah menemui bom sebelum ini.

“Saya menemui bom itu selepas 30 minit menjala di beberapa kawasan di parit tali air yang sama,” katanya yang tinggal kira-kira 500 meter dari situ.

Mustapha berkata lagi, sebelum itu dia mendapati jalanya terasa berat ketika ditarik selain terdapat sekawan ikan kecil yang mengena jalanya.

Menurutnya, dia kemudian menarik jala bersama ‘besi’ itu ke tebing lalu memeriksanya dan pada awalnya menyangka besi sepanjang hampir sekaki itu mungkin bom mainan atau bukan bom sebenar.

“Saya kemudian bertanya kepada seorang penduduk yang kebetulan berada di tempat berhampiran dan dia memberitahu benda itu adalah bom dan menasihatkannya memaklumkan kepada polis.

“Selepas mengetahui besi itu bom, kami agak ketakutan kerana bimbang ia akan meletup,” katanya.

Dia kemudian memberitahu jiran sebelah rumahnya tentang penemuan bom tersebut sebelum jirannya itu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Mustapha tertanya-tanya bagaimana bom tersebut boleh berada di dalam parit itu memandangkan sebelum ini kerja membersihkan parit kerap dilakukan menggunakan jengkaut tetapi tidak menemui bom seperti itu.

Manakala menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya telah pergi memeriksa bom tersebut dan mendapati ia sebiji peluru mortar lama 40mm (UXO).

Menurutnya, peluru tersebut dipercayai peninggalan perang pada zaman Jepun dan ia telah dimusnahkan oleh Unik Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada malam kelmarin di lokasi ia ditemui.