KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam menjaga nikmat iman dan Islam yang akan menentukan nasib dan hala tuju hamba ALLAH di akhirat kelak.

Baginda bertitah, ini kerana umat Islam di seluruh dunia pada hari ini sedang menghadapi suasana dan ujian yang sukar termasuk umat Islam di Malaysia diuji dengan usaha untuk menafikan kedudukan Islam, seperti yang dijamin dalam perlembagaan.

“Oleh itu, jagalah kunci penting peristiwa hijrah iaitu kesatuan dan perpaduan ummah, sebagaimana kesatuan Muhajirin mendukung perjuangan Islam dan semangat perpaduan Ansar menerima saudara Muhajirin yang tidak dikenali.

“Kunci penting inilah yang membawa kepada terbinanya Madinah, menjadi model kerajaan Islam terbilang yang dipenuhi rahmat kepada seluruh masyarakat, sama ada penduduknya Islam atau bukan Islam,” titah baginda pada sambutan Maal Hijrah peringkat Terengganu di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail disambut Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Baginda bertitah, bersempena dengan sambutan Maal Hijrah, semua anggota masyarakat perlu mengambil semangat dan pengajaran daripada peristiwa hijrah yang merangkumi konsep berkasih sayang antara sesama umat Islam.

“Perlu kita ingat bahawa berjayanya hijrah yang menjadi jambatan dan tertegaknya negara Islamiah kerana hijrah dipandu dan didukung dengan keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH,” titah baginda.