SEBERANG JERTIH - Isu kolam besar yang mengancam keselamatan penduduk Taman D’Kenjing bakal selesai apabila wakil rakyat meluluskan pembinaan pagar di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, beliau meluluskan peruntukan untuk membina pagar di sekeliling kolam tersebut demi keselamatan penduduk terutama kanak-kanak.

Tambah Adun Jertih itu, beliau mengambil tanggungjawab itu selepas mendengar keluhan penduduk, yang bimbang dengan kewujudan kolam tersebut yang digali pemaju perumahan untuk kerja menambak tanah.

“Saya telah berbincang dengan Pejabat Daerah Besut supaya membuat anggaran kos pembinaan pagar tersebut supaya kerja pembinaan dapat dilakukan dengan segera.

“Buat sementara saya telah meminta pihak berkaitan memasang papan tanda amaran berhampiran kolam tersebut,” katanya selepas meninjau kolam tersebut, di sini, semalam.

Hadir sama, wakil Pejabat Tanah dan Daerah Besut, Majlis Daerah Besut serta Tenaga Nasional Berhad.

Menurut Muhammad Pehimi, sebelum memberi kelulusan menduduki rumah, pihak berkaitan perlu memastikan beberapa perkara yang boleh mengancam keselamatan penduduk diselesaikan terlebih dahulu mana-mana syarikat pemaju.

Katanya, pembinaan pagar tersebut diharap dapat mengurangkan kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan anak masing-masing ketika bermain di sekitar taman perumahan itu.

Sementara itu, Ibrahim Che Kar berkata, penduduk taman perumahan itu lega apabila Muhammad Pehimi sanggup membina pagar di situ, walaupun bukan di bawah tanggungjawab beliau.

"Penduduk bimbang dengan keselamatan anak mereka sebab kolam itu dalam. Diharap pembinaan pagar itu dapat mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Faridah Abd Rahman mendakwa, ketika peringkat awal membeli rumah tersebut pada 2011, pemaju memberitahu akan membina pagar di kawasan kolam tersebut.

Bagaimanapun katanya, selepas enam tahun tinggal di situ, tiada sebarang pagar dibina sehingga ada kanak-kanak terjatuh ke dalam kolam tersebut minggu lepas.

Sinar Harian Sabtu lalu melaporkan rungutan penduduk setempat yang meminta pemaju dan pihak berkaitan membina segera pagar di situ selepas seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Shahirah Hani Shahrul Nizam, 10, nyaris lemas apabila terjatuh ke dalam kolam tersebut.

Kejadian dua minggu lalu itu berlaku ketika kanak-kanak terbabit bermain di tepi kolam tersebut dan tergelincir ke tepi kolam.

Bagaimanapun, dia sempat diselamatkan rakan-rakan yang bermain bersamanya ketika itu.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.