MARANG - “Saya berharap suami dapat ditemui dengan apa sahaja keadaannya, kami sekeluarga reda dengan apa sahaja yang berlaku tetapi agak terkilan kerana dia masih tak sempat untuk melihat cucu bongsu kami,”.

Demikian luahan isteri kepada nelayan dikhuatiri hilang di perairan sempadan Marang – Dungun yang masih berharap suaminya dapat pulang ke pangkuan keluarga serta dapat berjumpa dengan cucu bongsu baru berusia lapan hari.

Farimah Ibrahim, 50, isteri kepada Zakaria Omar, 58, berkata, cucu bongsunya itu baru sahaja keluar dari hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan telah dibawa pulang ke rumah anaknya di Padang Kemunting di Batu Rakit.

“(Kami) tak sempat lagi nak tengok cucu baharu berusia lapan…sembilan hari, hari ini. (Cucu) baharu keluar hospital jadi kami pun tak dapat lagi nak pergi (lagi)…cucu duduk di Kuala Terengganu…Padang Kemunting,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambu Bongkok Pantai di sini,‎ hari ini.

Dia turut menerima kunjungan Adun Pengkalan Berangan, A Latiff Awang di Pengkalan Nelayan Awang Jantan.

Ibu tujuh anak itu berkata, suaminya keluar menahan pukat pada kira-kira jam 4 pagi Sabtu lalu dengan menaiki bot seorang diri namun keluar secara berkumpulan bersama dua bot lagi seperti rutin kebiasaannya setiap hari.

Bagaimanapun suaminya tidak pulang pada petang hari kejadian dan bimbang keadaan lelaki itu, dia pergi ke pangkalan nelayan untuk bertanya dengan rakan-rakan suaminya yang sudah pun pulang termasuk ada yang cuba menghubungi suaminya melalui telefon.

Farimah menjadi lebih bimbang dan cemas apabila ada nelayan di kawasan berkenaan berjaya menemui bot gentian kaca milik suaminya terdampar di kawasan pantai di sempadan Kampung Rhu Kubur, Marang dan Rantau Abang.

Susulan itu, beberapa nelayan keluar semula ke laut untuk mencari Zakaria, namun gagal menemuinya.

Pada masa sama, Farimah mengambil keputusan ke Balai Polis Merchang untuk membuat laporan, kira-kira jam 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali mengesahkan menerima laporan berkata, operasi mencari dijalankan selepas laporan diterima dan diteruskan semula sejak pagi tadi.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat giat dilakukan di sekitar perairan Marang dan Dungun dengan menggunakan bot melibatkan anggota polis (11 anggota) dan agensi keselamatan lain,” katanya.

Agensi lain terlibat adalah Bomba dan Penyelamat (13 anggota), Maritim (9), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (11), Tentera Laut DiRaja Malaysia (4) dan nelayan setempat melibatkan kira-kira 100 orang nelayan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA PILAH - Seorang pemandu lori mengalami detik cemas apabila lorinya dihempap sebatang pokok hutan di jalan Kampung Sungkak menghala ke Bahau, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin.
  • JOHOR BAHRU - Seorang pemuda berusia 29 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang lelaki di Kota Tinggi, dekat sini, Ahad lepas.
  • TAIPING - Niat seorang anak bersama bapanya ingin bersenam di Kawasan Bukit Mas, di sini bertukar tragedi apabila dia menemui bapanya terbaring tidak sedarkan diri di laluan pejalan kaki, di sini.
  • IPOH - “Sudah lima hari dia tak makan ubat, saya bimbang dengan kesihatannya,” luah seorang bapa, Loh Mun Kit, 38, khuatir keadaan anak tunggal perempuannya yang dilarikan isteri sejak 24 November lepas.
  • KLUANG - Seorang ibu tunggal tiga anak bergantung harap kepada bantuan Perkeso dan JKM untuk meneruskan kehidupannya.