KUALA TERENGGANU – Pentadbiran kerajaan negeri menetapkan Isnin sebagai hari khusus bagi ketua setiap jabatan turun ke lapangan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat atau lebih dikenali sebagai ‘no tie day’.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, pelaksanaan ‘no tie day’ yang berkuat kuasa serta-merta itu sebagaimana pengumuman dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika berucap pada Majlis Ucap Negeri 2017 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini.

Menurutnya, pada hari itu sebarang mesyuarat tidak dibenarkan melainkan ia melibatkan perkara mustahak dan perlu diutamakan.

“Hari Isnin adalah hari yang akan fokus 100 peratus kepada pelanggan. Sesetengah ketua jabatan akan menjadikan hari Isnin sebagai hari bertemu pelanggan dan saya telah arahkan semua ketua jabatan negeri dan persekutuan untuk jadikan hari Isnin sebagai hari untuk mereka turun padang.

“Kita harap, ia akan beri kebebasan kepada ketua jabatan untuk terus secara langsung berdampingan dengan pegawai di peringkat bawahan. Dah sampai masanya untuk kerajaan bersama rakyat, memahami permasalahan sebenar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani kain rentang Solidariti Le Tour de Langkawi (LTdL), di Wisma Darul Iman.

Katanya, kali ini pendekatan yang dijalankan sedikit berbeza iaitu hari Isnin dijadikan sebagai hari untuk menyelesaikan semua masalah berkaitan dengan rakyat.

“Bagi ketua jabatan, mereka kena turun padang, lawat projek-projek, lawat unit-unit di bawah mereka bagi memastikan kakitangan di bawah kawalan menjalankan tugas sebaik mungkin,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR GUDANG - Johor mahu kerajaan pusat berbincang terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan berkaitan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) yang didakwa berisiko muflis dilakukan.
  • PADANG RENGAS - Program pemukiman Menteri Besar Perak merupakan pendekatan yang sangat berkesan dalam menyelesaikan masalah selain mendekatkan pemimpin dengan masyarakat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.