KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang lelaki memiliki kereta idaman berkecai selepas ditipu hampir RM5,000 oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai 'jurujual' di sebuah syarikat jualan kenderaan terpakai di Kemaman.

Kejadian berlaku pada 26 Ogos lalu selepas mangsa, 32, dari Padang Hiliran, di sini, melayari sebuah laman web sebelum tertarik pada satu iklan jualan sebuah kereta jenis Isuzu Pick Up dengan tawaran harga RM10,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa seterusnya berurusan dengan seorang jurujual lelaki memperkenalkan diri 'Ringo' melalui nombor telefon tertera di iklan tersebut.

"Sejurus memberitahu persetujuan membeli kenderaan itu, mangsa diarahkan memasukkan RM500 ke dalam akaun bank diberikan sebagai bayaran deposit.

"Tanpa berfikir panjang, pada hari sama (26 Ogos), mangsa terus memasukkan wang diminta, namun keesokan harinya (27 Ogos), sekali lagi mangsa diarahkan membuat pembayaran berjumlah hampir RM1,000 ke dalam akaun sama.

"Mangsa hanya akur setiap arahan diberikan, meskipun selepas itu masih diminta beberapa kali memasukkan lagi sejumlah wang kerana terlalu teruja untuk mendapatkan kenderaan terbabit," katanya.

Idris berkata, hanya dalam tempoh dua hari, tanpa disedari mangsa dia sudah memasukkan hampir RM5,000 ke dalam akaun sama sebelum 'Ringo' bersetuju berjumpa mangsa di sebuah pasa raya di Kemaman untuk perbincangan selanjutnya.

"Pada hari dijanjikan iaitu 27 Ogos lalu, kira-kira jam 9 malam, mangsa pergi ke lokasi diberitahu, bagaimanapun 'Ringo' tidak datang dan tidak dapat dihubungi lagi.

"Mangsa cuba berhubung dengan majikan 'Ringo' di talian diberikan sebelum itu untuk bertanyakan status kenderaan itu sebelum diminta membuat pembayaran lagi sebanyak RM4,900," katanya.

Jelas Idris, mangsa yang mula curiga dan menyedari dirinya sudah tertipu enggan membuat pembayaran seperti diminta meskipun dijanjikan kereta itu akan dihantar sejurus pembayaran terakhir dibuat.

"Tidak berpuas hati kerana ditipu, mangsa nekad membuat laporan polis pada 1 September lalu untuk siasatan lanjut selain mengharapkan duitnya dapat dikembalikan semula," katanya.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.