KEMAMAN - Impian sepasang suami isteri membawa dua anak mereka yang mengidap penyakit kronik tinggal bersama akhirnya termakbul apabila menerima rumah kos rendah di kawasan perumahan 466 Gong Chengal, Kemasik.

Nor Hafizah Zainuddin berkata, bantuan rumah berkenaan sangat ditunggu-tunggu bagi membolehkan anak keduanya yang kini berusia tiga tahun, Nurul Aqila Maisara Hasmadi dibawa pulang ke rumah setelah terpaksa membesar di hospital sejak lahir.

Menurutnya, anak perempuannya yang manja dengan panggilan Aqila mengidap penyakit usus kronik kerana ususnya tidak berupaya menyerap makanan atau dalam istilah perubatannya hirschprung desease kategori short bowel syndrome dan total colanic agangglion.

"Disebabkan penyakit itu, Aqila tidak pernah merasa suasana membesar di dalam rumah kerana selepas empat hari dilahirkan di hospital di Pahang, anaknya itu dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur dan dirawat di pusat perubatan itu sehingga sekarang.

“Alhamdulillah, lega sangat sebab akhirnya kami empat beranak sudah ada rumah sendiri dan harapan untuk bawa Aqila pulang ke rumah juga semakin cerah," katanya.

Nor Hafizah berkata, pada 11 Disember lalu, doktor memberi kebenaran membawa pulang Nurul Aqila ke rumah dan dirawat di rumah.

"Doktor bagi syarat kena ada rumah yang bersih dan perlu ada kelengkapan sokongan yang diperlukan Aqila,” katanya.

Penyerahan rumah berkenaan kepada Norhafizah dan suaminya yang bekerja buruh kasar, Hasmadi Hanafi, 36, disempurnakan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri merangkap Adun Kemasik, Ir Rosli Othman.

Rumah berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) manakala pihak Pejabat Dun Kemasik dan Pejabat Dun Kijal pula menanggung kos ubahsuai rumah itu dan bilik khas untuk menempatkan Aqila.

 

Anak sulung membesar tanpa ibu di sisi

Nor Hafizah, 32, berkata, jika Aqila dibenarkan pulang, anak sulungnya, Mohd Hadif, 4, yang mengidap penyakit injap jantung sempit atau valvular oartic stenosis tidak perlu lagi berjauhan dengannya.

“Anak sulung saya pun sejak lahir lagi menderita penyakit injap jantung kiri sempit tapi sekarang keadaannya dah makin stabil dan enam bulan sekali kena dapatkan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Sebab adiknya sakit lebih kronik, Hadif terpaksa membesar tanpa saya di sisi kerana saya terpaksa jaga Aqila. Saya terpaksa tinggal Hadif sejak dia berumur setahun sembilan bulan hinggalah ketika umurnya sudah empat tahun sekarang,” katanya.

Katanya, anak sulungnya itu dijaga ibu mertuanya yang tinggal di Kampung Payoh, Kijal dan dia pula hanya dapat pulang ke rumah menjenguk anak sulungnya itu dalam tempoh dua bulan sekali sahaja untuk menjimatkan kos ulang alik.

“Kalau Aqila dibenarkan balik ke rumah baru kami ini, dapatlah saya jaga kedua-dua anak saya ini sekali. Tak perlu lagi mereka adik-beradik berpisah.

“Hadif juga perlukan perhatian saya. Sistem imunisasi badan dia tak kuat, dia mudah demam. Doktor kata, Hadif perlu diawasi dengan baik kerana kalau dia demam atau jatuh, jantungnya mudah untuk bengkak dan jika perkara itu berlaku, perlu dibuat pembedahan yang kosnya RM10,000 ke atas,” katanya lagi.

Berikutan itu, Nor Hafizah memberitahu, dia dan suami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pejabat Dun Kemasik, Pejabat Dun Kijal dan Maidam kerana membantu mereka mendapatkan sebuah rumah dan mereka tidak perlu lagi hidup menumpang di rumah orang tua.

“Kos yang saya dan suami tanggung setiap bulan amat besar. Di Kuala Lumpur saya terpaksa sewa bilik untuk jimatkan kos. Kalau sewa rumah lagi mahal. Saya terpaksa menyewa sebab tak boleh tidur dalam wad.

“Kos dapat dijimatkan lagi kalau Aqila dapat dibawa pulang ke rumah segera. Namun sekarang ada beberapa mesin yang perlu kami beli dulu sebelum dapat bawa pulang Aqila,” katanya.

 

Turut sumbang kelengkapan

Sementara itu, mengulas mengenai penyerahan rumah berkenaan kepada keluarga Nor Hafizah, Rosli berkata, pihaknya turut menyumbang sebuah katil khas, singki, alat pendingin hawa dan tirai pada tingkap bagi memastikan bilik khas untuk menempatkan Aqila memenuhi spesifikasi yang dikehendaki PPUM.

“Aqila memerlukan bilik khas yang bersih dan tidak berdebu jadi kita pasang jubin di keseluruhan rumah ini termasuk dalam bilik khas dan kita turut pasang tirai pada tingkap untuk elak debu dan kotoran,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - “Tolonglah kembalikan kegembiraan Aisyah, dia masih kecil tak mengerti apa-apa. Kini dia hanya mampu terlantar di katil dan tidak seaktif kanak-kanak seusianya,” itulah luahan seorang bapa Zulkifli Ibrahim, 36, selepas mengetahui anak tunggalnya mengidap kanser usus tahap tiga dan perlu rawatan lanjut.
  • KUALA KRAI - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh, dekat sini terpaksa melupakan hasrat menduduki peperiksaan itu setelah disahkan menghidap kanser usus tahap tiga, bulan lalu.