KAMPUNG RAJA - Selain enak dijadikan lauk pauk dimakan bersama hidangan nasi, ikan puyu juga didakwa mempunyai khasiat besar dalam bidang perubatan alternatif terutama untuk merawat penyakit tertentu.

Presiden Persatuan Usahawan Penternak Puyu Kelantan (Pupuk), Mohd Izzat Mohd Zubir berkata, ikan puyu digunakan secara meluas di Indonesia untuk merawat dua penyakit yang sering dihidapi manusia.

Menurutnya, spesies ikan darat atau air tawar itu dikatakan mampu  mengatasi masalah osteoporosies atau tulang reput selain mengatasi masalah lemah tenaga batin lelaki.

“Di negara jiran itu mereka memproses tulang ikan puyu menjadi serbuk sebelum dibuat kapsul kerana dikatakan tulang puyu mampu  menguatkan tulang dan merawat masalah tenaga batin lemah,” katanya.

Mohd Izzat (kanan) menunjukkan ikan puyu yang diternak oleh Ridzuwan (kiri) di Kampung Keluang.

Mohd Izzat berkata, khasiat  tersebut membuatkan ikan puyu mendapat permintaan tinggi selain popular sebagai makanan eksotik termasuk di negara ini.

Menurutnya, menyedari potensi besar dalam industri ikan puyu telah mendorong pelbagai pihak mula menternak ikan puyu secara komersil.

“Di negara ini, ikan puyu lebih popular sebagai makanan eksotik  yang diproses dengan pelbagai cara termasuk pekasam,” katanya ketika ditemui di rumah seorang penternak ikan puyu, Ridzuwan Mustafa, 50, di Kampung Keluang, di sini.

Mohd Izzat memberitahu lagi, sehubungan itu persatuan menggalakkan orang ramai yang berminat agar menceburi bidang penternakan ikan puyu kerana ia memberi pulangan lumayan sekiranya diusahakan secara serius.

Menurutnya, pihaknya mengesyorkan penternak memelihara ikan puyu baka Chumphon 1 yang diimport dari Thailand kerana baka jenis ini mempunyai rasa dagingnya  yang lebih manis dan lemak.

“Spesies ini juga boleh mencapai saiz melebihi 3 kg seekor selain tempoh masanya yang lebih singkat untuk membesar  berbanding ikan puyu tempatan,” kata graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini.

Ujar beliau, penternakan ikan puyu baka Thailand semakin menjadi pilihan kerana   penjagaannya mudah dan tidak memerlukan perhatian  serius termasuk tidak cerewet dari aspek pemakanan.

Ridzuwan bercita-cita menjadi penternak ikan puyu yang berjaya dan dapat membekalkan ikan untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, di negara ini ikan puyu boleh dipasarkan secara hidup, pekasam, ikan kering, sejuk beku dan umpan hidup (umpan pancing).

“Ikan spesies ini boleh dipasarkan seawal sebulan iaitu setelah mencapai ukuran  5.08 sentimeter (2 inci) panjang bagi tujuan umpan hidup yang dijual dengan harga sekitar RM1 seekor.

“Harga ikan puyu hidup semasa di pasaran dari  baka ini mencecah RM20.00  sekilogram manakala harga benihnya adalah 30 sen seekor,” katanya yang turut membekalkan benih ikan ini untuk penternak dari Kelantan dan Terengganu.

Mohd Izzat berkata, pihaknya sedang menggiatkan usaha menambah bilangan penternak ikan itu di negeri khususnya di daerah Besut daripada 30 orang sekarang kepada bilangan lebih besar memandangkan bekalan ikan puyu tidak dapat memenuhi permintaan pasaran,

Sementara itu salah seorang penternak, Ridzuwan berkata, dia mula berjinak dalam ternakan ikan puyu pada Mac lalu sebanyak 3,000 ekor selepas  mengetahui potensi ternakan ini yang sangat besar.

Menurutnya, dia membela ikan tersebut dalam dua kolam buatan dan satu kolam tanah  di halaman rumah.

“Saya merancang untuk membesarkan perusahaan saya namun berharap agensi berkaitan atau kerajaan dapat membantu penternak sepertinya untuk memajukan lagi dalam bidang ini,” katanya.