KAMPUNG RAJA – Idea yang dicetuskan tiga guru wanita daerah Besut menghasilkan formula operasi bahagi Matematik membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Anugerah Inovasi Kategori Guru Peringkat Kebangsaan.

Kumpulan diketuai guru matematik SK Felda Selasih, Mafazah Zakaria bersama Asnita Daud (SK Keruak) dan Harzdiana Mohamed Zain dari SK Tok Dor menerima anugerah tersebut di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Kampus Sultan Mizan dekat Bukit Keluang, di sini.

Kaedah ABGT (atas, bawah, garis dan  tolak) yang dicipta mereka berjaya menewaskan tujuh peserta lain dalam kategori tersebut sempena Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari di kampus berkenaan.

Mafazah berkata, kaedah itu direka berdasarkan pengalaman sebagai guru matematik selama 22 tahun untuk memupuk minat murid-murid terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar terhadap mata pelajaran matematik khusus dalam operasi bahagi.

“Selain Bahasa Inggeris, selalunya penguasaan matematik agak lemah dalam kalangan murid dan inovasi ini diharapkan dapat mengubah minda mereka daripada takut kepada meminati matematik,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan Setiausaha Politik Kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Abd Halim Jusoh yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, kaedah ini adalah alternatif memudahkan murid menyelesaikan masalah operasi bahagi dalam bentuk lazim.

"Melalui kaedah ini, murid tidak memerlukan pengiraan bahagi sebagaimana biasa iaitu pengiraan ke bawah sebaliknya ia ke kanan.

“Kaedah ini lebih mudah dan senang untuk difahami dalam mencari jawapan operasi bahagi sekali gus mengatasi kelemahan murid dalam mata pelajaran matematik dalam kalangan pelajar luar bandar,” katanya.

Tambahnya, inovasi ini juga menarik kerana ia bukan semata-mata belajar memerah otak tetapi menjurus kepada rekreasi matematik.

"Beberapa alat bantu mengajar yang mudah dan murah turut digunakan bagi memudahkan pemahaman murid.

“Beberapa bahan tertentu antaranya bekas kosong, kad nombor dan papan lapis dan melalui kaedah ini murid hanya perlu melakukan tiga langkah utama bermula dengan membina sifir terlebih dahulu kemudian menyelesaikan masalah bahagi dalam bentuk lazim,” katanya.

Sementara itu, pensyarah IPG Kampus Dato Razali, Kuala Terengganu, Pajuzi Awang, 45, pula memenangi Anugerah Emas Pertandingan Inovasi dalam majlis sama.

Inovasi dihasilkan beliau merupakan gabungan pembelajaran sains dan aplikasi dalam talian telefon dikenali aplikasi m-KBAT atau kemahiran berfikir aras tinggi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Hasrat seorang pesara guru menjala udang di Muara Kuala Besar berakhir dengan tragedi selepas bot yang dinaiki bersama seorang rakannya terbalik dipukul ombak dalam kejadian di sini kira-kira jam 4 petang kelmarin.
  • SEGAMAT - Guru takmir (mengaji) al-Quran di negeri ini perlu mendapatkan tauliah terlebih dahulu daripada Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) sebelum mengajar kelas mengaji dan tajwid di kawasan mereka.
  • KADOK - Walaupun tidak pernah ada pengalaman bertukar sekolah sejak 40 tahun bergelar pendidik, namun Abdullah Zohdi Ismail sentiasa bersemangat dan teruja untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dengan guru-guru dan pelajarnya.
  • TELUK INTAN - Budaya berterima kasih kepada guru seperti yang dilakukan generasi dahulu dilihat semakin pudar dalam kalangan generasi hari ini dan ia sesuatu yang membimbangkan.
  • MERSING - Guru Pemulihan Khas dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nitar 1 memenangi anugerah perak dalam Pertandingan Intervensi Amalan Bilik Darjah (iabD) 2017 peringkat Kebangsaan, minggu lalu.