DUNGUN - Seorang wanita maut, manakala dua anaknya turut cedera dalam nahas jalan raya di kilometer 72, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di Pulau Serai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengahari itu, Wan Zaida Wan Zaid, 43 yang cedera parah disahkan meninggal di lokasi.

Manakala dua anaknya,  Ahmad Qusyairi Azman 7, dan Ahmad Saiful Aiman Azman, 12 dikejarkan ke Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Honda EX5 ditunggang mangsa dipercayai keluar dari simpang sebelum dirempuh motosikal lain dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

“Kemalangan membabitkan pelanggaran dua buah motosikal.

“Sewaktu kejadian, motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang oleh seorang pelajar berusia 15 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kuantan.

“Secara tiba-tiba, motosikal ditunggang mangsa bersama dua anaknya keluar dari satu simpang sebelah kiri menyebabkan perlanggaran berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pelanggaran menyebabkan wanita yang beralamat dari Kampung Padang, Pelandang maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat dan punca sebenar kematian belum diketahui.

“Manakala dua anaknya hanya cedera ringan dan dibenarkan keluar hospital.

“Kes disiasat di bawah  Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mengambil anaknya dari sekolah.