UNGUN - Jika sebelum ini, pasangan suami isteri ini berganding bahu mencari rezeki untuk menyara keluarga, namun tanggungjawab terpaksa diserahkan kepada isteri selepas ketua keluarga menghidap kanser pangkal hidung.

Noor Aisyah Mat Jusoh, 41, sebelum ini lega apabila suaminya, Lokman Husin, 49 yang menghidap kanser sejak 2009 beransur pulih selepas menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, masalah kesihatan suaminya berulang apabila sel-sel kanser dihidapinya kembali merebak dan kini menanggung penderitaan penyakit yang sudah mencapai tahap tiga.

Ibu kepada enam anak itu berkata, kanser yang menyerang membuatkan suaminya semakin lemah dan tidak mampu melakukan kerja berat.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia terpaksa menjual kuih di pasar malam untuk mendapatkan duit menyara keluarga.

"Jika sebelum ini, suami sama-sama berniaga tetapi sekarang dia sudah tidak berdaya.

Noraisyah tabah menjaga suami yang sakit, disamping menggalas tugasan menyara keluarga.

"Suami tidak boleh melakukan kerja berat dan selain mencari rezeki, saya juga perlu memberi perhatian menjaganya," katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung Pinang Merah sempena program Jom Bantu Rakyat Dun Paka.

Hadir sama, Pengerusi Penyelaras Dun Paka, Tengku Hamzah Tengku Draman dan Pegawai JKM Dungun, Mohd Naufal Yusof.

Lebih RM1,000 sebulan belanja susu

Noor Aisyah berkata, walaupun berat dugaan, dia menganggap masalah itu satu ujian.

“Suami sudah menjalani beberapa kali pembedahan tetapi selepas lapan tahun sel kanser kembali menyerang.

“Sekarang suami hanya bergantung kepada susu semata-mata tetapi saya bersyukur dia masih mampu bangun dan berjalan.

“Selain berniaga, suami mendapat bantuan bulanan sebanyak RM350 sebulan,” katanya.

Katanya, perbelanjaan keluarga agak besar kerana dia perlu menampung perbelanjaan anak-anak sekolah dan kos susu juga tinggi.

“Perbelanjaan untuk susu sahaja menjangkau RM1,000 lebih sebulan dan satu tin susu berharga RM78 boleh bertahan untuk dua hari sahaja.

“Sekarang apa yang menguatkan semangat saya ialah anak-anak dan kadang-kadang mereka bantu berniaga di pasar malam.

“Suami memang ada keturunan kanser tetapi saya berharap keadaannya akan bertambah baik,” katanya.

Minta JKM kaji semula bantuan bersesuaian

Sementara itu, Tengku Hamzah berkata, pihaknya akan berusaha membantu keluarga berkenaan termasuk meminta JKM mengkaji semula bantuan bersesuaian yang boleh disalurkan.

“Pertama sekali pihak penyelaras akan membantu menyediakan bekalan susu kerana pesakit ini 100 peratus bergantung kepada susu.

“Kita akan hantar segera bekalan susu supaya dapat meringankan perbelanjaan keluarga.

“Kita juga meminta JKM kaji semula bantuan lain yang boleh ditambah.

Lokman sudah menjalani beberapa kali pembedahan

“Perlu dilihat kepada keperluan keluarga ini yang sumber pendapatannya berniaga dan mungkin boleh ditambah modal bagi memudahkan si isteri mencari rezeki,” katanya.

Kata beliau, selain keluarga berkenaan, kira-kira enam rumah penduduk yang juga penerima bantuan JKM dikunjungi.

“Program jom bantu rakyat kali ini bukan sahaja melibatkan JKM tetapi kita turut membawa kakitangan Jabatan Kesihatan.

“Selain menyampaikan bantuan keperluan asas, pembantu kesihatan ada membuat pemeriksaan kesihatan kepada penduduk.

“Matlamat utama program ini adalah mencari kebersamaan kita dengan agensi terlibat dan eratkan hubungan.

“Secara tidak langsung kita menyelami permasalahan rakyat sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya.