KEMAMAN - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan saat getir apabila ibunya maut, adiknya parah manakala dia bersama dua lagi mangsa cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan kereta dan van ketika dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan kertas Prinsip Perakaunan 1 SPM 2017, kira-kira jam 7.15 pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku selepas kereta Proton Waja dinaiki Nuryn Elmira Farhana Mohd Hamzah, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal bersama ibu dan adiknya berlanggar dengan sebuah van Toyota Hiace di Kilometer 130 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu di Kampung Meraga Beris, di sini.

Akibat nahas itu, ibunya, Surina Ghani, 40, yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia dunia di lokasi kejadian manakala adiknya yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara, Nuryn Elisha Farhana Mohd Hamzah, 12, patah tulang pipi selain mengalami kecederaan dalaman.

Nuryn Elmira pula mengalami retak tulang bahu kanan dan pergelangan tangan kanan menyebabkan dia terpaksa menduduki kertas Prinsip Perakaunan 1 dan 2 di Hospital Kemaman masing-masing pada jam 8 dan 10 pagi.

Semasa kejadian, tiga beranak itu baharu keluar dari simpang rumah mereka di Kampung Meraga Beris untuk ke SMK Kijal sebelum berlanggar dengan van dinaiki dua sukarelawan Aman Palestin yang berada di lorong kanan jalan dan dalam perjalanan dari arah Chukai ke Kerteh untuk membuka booth pameran.

Ekoran itu, sukarelawan terbabit, Mariani Mohd Nor, 27, turut mengalami patah tulang pipi dan rakannnya yang memandu van itu turut tercedera.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang mengesahkan kemalangan itu berkata, kesemua mangsa yang parah dan cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan dan mangsa maut turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Bagaimanapun, menurutnya, berikutan keadaan Nuryn Elisha yang kritikal, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada jam 10.30 pagi tadi untuk rawatan lanjut.

Kata beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LIPIS - Satu kemalangan berlaku di laluan Lipis-Gua Musang di Merapoh membabitkan sebuah van jenazah dan pacuan empat roda petang tadi.
  • SABAK BERNAM - SEORANG pemandu kereta nyaris maut apabila kenderaan dipandunya melanggar sebuah lori yang secara tiba-tiba membuat pusingan U di Kilometer 45 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, petang, semalam.
  • KUALA LIPIS - Akibat bahagian stereng mengalami kerosakan teknikal, sebuah lori tanpa membawa muatan hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 25 Jalan Lipis - Benta, berdekatan atas jambatan Benta, di sini, pagi tadi.
  • TANAH MERAH - SEORANG anggota polis cawangan trafik antara dua yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal di sempadan daerah ini dan Machang di Jambatan Kusial, dekat sini, petang tadi.
  • PUTATAN - Seorang guru wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda di KM16 Jalan Papar - Kota Kinabalu, di sini hari ini.