BAGAIKAN berada di taman rimba. Begitulah pendapat orang ramai sewaktu berkunjung ke rumah seorang pesara guru yang mengindahkan kawasan kediamannya di Kampung Bukit Perah, Hulu Terengganu, berkonsepkan semula jadi.

Masakan tidak, rumah milik Fauzi Elias, 59, dipenuhi pelbagai spesies orkid, bonsai dan tunggul atau teras kayu, yang diterjemahkan melalui kreativiti tersendiri sehingga mampu membuatkan sesiapa sahaja berasa tenang serta damai.

Halaman kediaman datuk tiga cucu itu turut dihiasi puluhan tempayan pelbagai saiz termasuk dipercayai berusia lebih 100 tahun, sampan dan ‘keret’ lama telaga sebagai simbolik kebudayaan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Mula berkreativiti di sekolah

Fauzi berkata, segala bermula sekitar 2000 dan sehingga kini dia membelanjakan lebih RM150,000 untuk terus berkarya dalam lapangan seni hiasan landskap serta mengikuti beberapa kursus berkaitan sehingga ke Johor dan Kuala Lumpur.

“Saya suka alam semula jadi kerana cukup memberi ketenangan. Sebab itulah saya menghiasi sekitar rumah berkonsepkan sedemikian. Biarpun ada yang mengatakan ini semua membazir, bagi saya ini minat yang dapat memberi kepuasan tersendiri.

“Sepanjang 33 tahun bergelar guru, saya banyak diberi tanggungjawab mengindahkan landskap dan keceriaan sekolah, selain turut dilantik sebagai barisan hakim. Sekolah tempat saya mengajarlah menjadi tempat untuk saya berkreativiti. 

"Halaman rumah sewa agak terhad, ketika itu saya lebih kepada mengumpul koleksi. Setelah berpindah ke rumah sewa lain di Kuala Berang sekitar 2004, saya dapat berkarya biarpun masih ada keterbatasan ruang di halaman.

“Setelah memiliki rumah sendiri sejak 2012, saya mampu berkarya dan berkreativiti sebebasnya. Taman rimba ini dipenuhi tiga bahagian utama iaitu bonsai, orkid dan kayu terbuang diberi sentuhan seni,” katanya.

Isteri kongsi minat sama

Tambah bapa kepada 10 cahaya mata itu, landskap berkonsepkan semula jadi diibaratkan bukan sekadar penzahiran minat semata-mata, tetapi turut menjadi ‘teman pendengar’ segala luahan rasa yang mampu memberi ketenangan jiwa.

“Setelah bersara, saya banyak habiskan masa lapang untuk mengindahkan halaman. Ini juga aktiviti riadah. Bila pulang ke rumah, saya tak terus masuk, sebaliknya habiskan 10 hingga 15 minit dulu di halaman.

“Saya juga bersyukur sebab isteri (Roshana Daud, 51) sentiasa menyokong minat saya ini, lagipun dia juga peminat orkid. Sehingga kini saya mempunyai kira-kira 20 spesies orkid termasuk orkid hibrid dan orkid liar. Antaranya dendrobium, phalaenopsis bellina, bulbophyllum medusa dan orkid Rosli iaitu sejenis orkid liar ditemui di Tasik Kenyir serta dikatakan hanya ada di Terengganu,” katanya. 

Tambah Fauzi, jenis kayu mengindahkan halamannya terdiri daripada tunggul atau teras kayu cengal, merbau dan tembesu, manakala spesies bonsai pula seperti cucur atap (beackea frutuscen), limau rawit serta berbuas pulau.

Katanya lagi, minat itu turut memberi pendapatan setelah ada kenalan berminat dengan hasil seninya dan dia juga pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan bonsai anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sekitar 2014.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.