KUALA TERENGGANU - Persidangan Dun diberitahu bahawa kerajaan negeri hanya mempunyai hutang berjumlah sebanyak RM893 juta sahaja dengan kerajaan Persekutuan, sekali gus menolak dakwaan pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dakwaan bahawa jumlah hutang terkini Terengganu sebanyak RM3.6 bilion seperti didakwa Hishammuddin Abd Karim (Pas-Tepoh) adalah tidak benar. 

Menurutnya, daripada jumlah RM893 juta, kerajaan negeri hanya perlu membayar sebanyak RM502 juta sahaja.

“Semua negeri mempunyai hutang dengan kerajaan Persekutuan termasuklah negeri-negeri pembangkang,” katanya semasa sesi penggulungan di Wisma Darul Iman, di sini.

Beliau turut memberitahu berdasarkan data dua tahun lalu, negeri-negeri pembangkang termasuk Kelantan dan Selangor, kedua-duanya mencatatkan hutang dengan kerajaan Persekutuan lebih tinggi berbanding Terengganu.

“Sekiranya diambil data untuk Disember 2015 sebagai contoh, Kelantan mempunyai hutang sebanyak RM1.3 bilion dan Selangor mempunyai hutang RM1.03 bilion. Terengganu RM909 juta,” katanya. 

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa projek kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf loji rawatan air di Bukit Sah, Kemaman dan cadangan Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara melibatkan kos asal sebanyak RM499 juta. 

Jelasnya, bayaran tersebut menggunakan kaedah ‘deffered payment’ dan bayaran dibuat secara berperingkat selepas projek tersebut siap.

Ahmad Razif turut memberi jaminan bahawa kerja-kerja melibatkan loji rawatan air tidak akan melibatkan kenaikan tarif air sambil menjelaskan bahawa Terengganu buat masa ini masih lagi negeri kedua terendah kadar tarif air bagi domestik.

“Sekiranya kita tidak selesaikan isu bekalan air ini yang mana bekalan air sedia ada ini sudah 30 tahun tak ditukar dan kalau tidak buat sesuatu, kita akan terus menanggung kos penyelenggaraan yang semakin hari semakin besar,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa sekiranya komitmen bayaran tahunan untuk tiga projek terbabit pada tahun 2019 adalah sama dengan tahun ini iaitu RM256.9 juta, ia masih lagi berada di bawah 40 peratus bajet pembangunan yang diperuntukkan pada 2017 iaitu sebanyak RM741 juta.

“Jadi strategi ini kita telah ambil kira dari segala sudut sebelum kita hendak buat keputusan kerana kita jangka pada tahun 2019, komitmen yang akan kita beri masih lagi sama dengan apa yang telah kita belanjakan pada tahun ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA NERANG - Seorang ibu tunggal dari Kampung Keda Bukit Ular di sini merayu agar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dapat membina semula rumahnya yang terbakar pada September tahun lalu.
  • ALOR SETAR - Budaya masyarakat zaman sekarang dilihat lebih ramai suka berhutang daripada kesedaran nak menjelaskan hutang tersebut, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Mohamad Baderuddin Ahmad.