KUALA TERENGGANU - Orang ramai diminta membantu mengesan waris seorang pesakit wanita yang kini berada di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak 26 Ogos lalu.

Pengarah HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pesakit dipercayai berbangsa Melayu, berusia lingkungan 40an dan berkulit sawo matang itu gagal memberikan pengenalan diri kerana mengalami masalah daya ingatan.

Menurutnya, pengecaman identiti oleh Jabatan Pendaftaran Negara Terengganu gagal mengesan sebarang maklumat kerana individu ini tidak pernah memiliki kad pengenalan.

"Pesakit ini dimasukkan ke hospital oleh pihak ambulan selepas menerima panggilan orang awam memberitahu dia tidak sedarkan diri di hadapan Kolej Cosmopoint, Jalan Sultan Ismail, 26 Ogos lalu," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan HSNZ atau Pegawai Kerja Sosial Perubatan Kanan HSNZ, Asmaliah Ismail di talian 09-6212121 sambungan 2277.