• MB Terengganu AhmadSaid
1 /

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri meluluskan peruntukkan sebanyak RM200 juta bagi penubuhan sebuah lagi hospital swasta di bawah Terengganu Development Management Berhad (TDM) bagi menampung kesesakan di hospital kerajaan tidak lama lagi.

 Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, hospital yang berlokasi di Batu Burok itu bakal memuatkan sebanyak 150 buah katil.

 Menurutnya, hospital tersebut akan memberi alternatif kepada rakyat Terengganu bagi mendapatkan rawatan yang baik dan selesa di hospital swasta, memandangkan berlaku kesesakan pesakit bagi menerima kemudahan rawatan di hospital kerajaan.

 “Kerja-kerja pembinaan paling lewat akan dimulakan pada Jun nanti. Lokasinya adalah di tapak kuarters kerajaan yang akan dirobohkan di Jalan Sultan Mahmud bersebelahan di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Batu Burok.

 “Ia dijangka disiapkan dalam tempoh 24 bulan (dua tahun),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan 2012 di Hospital Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A. Rahman Mokhtar, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Tengku Ramlah Tengku Senik.

Ahmad turut menyerahkan sumbangan RM2 juta untuk Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan negeri kepada Dr Anwa serta RM20,000 untuk Tabung Kebajikan Perubatan HSNZ yang diterima Pengarah HSNZ, Tengku Ramlah.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM22,088 berserta kerusi roda kepada tiga pesakit kronik.

Sementara itu, beliau juga melahirkan rasa dukacitanya, apabila dimaklumkan makmal bagi ujian dadah untuk mengesan ‘Amphetamine Type Simulant’ (ATS), pertama di Pantai Timur, yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas, masih belum berjalan sebagaimana sepatutnya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh pihak bertanggungjawab bagi menaik taraf makmal dadah Jabatan Patalogi di HSNZ bahawa peruntukan yang diberikan pada tahun lepas sebanyak RM1.5 juta bagi perbelanjaan pengubahsuaian dan pembelian peralatan adalah tidak mencukupi.

“Peruntukan telah diberikan pada tahun lepas tetapi baru dimaklumkan tidak mencukupi kerana kos sepatutnya adalah RM1.7 juta. Sepatutnya, buat dulu dengan peruntukan yang diberikan, tidak cukup boleh tambah semula.

 “Apabila hal ini berlaku, ia akan menyebabkan berlaku peningkatan bajet pada tahun ini,” katanya.