JERTIH - Pengurusan Hospital Besut akan menyiasat laporan seorang lelaki yang mendakwa perkhidmatan di Unit Kecemasan hospital itu tidak memuaskan.

Pengarahnya, Dr Hariza Hussin berkata, pihaknya memandang serius aduan yang dibuat pelanggan tersebut menerusi laman sosial Facebook, semalam.

Menurutnya, pihaknya telah memanggil lelaki tersebut untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas untuk tindakan lanjut.

“Lelaki tersebut datang bersama anak dan isterinya pagi tadi dan memberitahu ketidakpuasan hatinya dan saya anggap perkara ini telah selesai,” katanya.

Hariza berkata, semua aduan yang dibuat akan disiasat secara mendalam kerana pihaknya tidak mahu ada pihak yang teraniaya sama ada pelanggan mahupun kakitangan.

Menurutnya, beliau tidak akan mempertahankan kakitangannya jika didapati mereka bersalah dalam setiap aduan oleh pelanggan.

“Kakitangan perlulah memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan walau dalam keadaan apa sekalipun meskipun dalam keadaan tekanan kerana ini sudah tanggungjawab kita.

“Dalam pada itu saya minta agar pesakit atau orang ramai yang mempunyai aduan atau tidak berpuas hati terhadap perkhidmatan di hospital ini hendaklah disalurkan mengikut saluran yang betul,” katanya.

Sebelum ini, seorang lelaki dari Hulu Besut memuat naik entri di Facebook berhubung kekecewaannya terhadap kakitangan Unit Kecemasan Hospital Besut.

Dakwa lelaki itu, dia membawa anak perempuannya berusia 2 tahun untuk mendapatkan rawatan namun selepas menunggu selama hampir dua jam, anaknya masih tidak dipanggil menyebabkan dia pulang.